suria

Polis Kedah Perketat Kawalan Keselamatan

ALOR SETAR: Polis Kedah akan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan pelancong dan tempat awam yang berisiko menjadi sasaran serangan terutamanya di Bandaraya Alor Setar dan Pulau Langkawi, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Zamri Yahya. 

Jelasnya, beliau turut mengarahkan semua Ketua Polis di daerah-daerah bersempadanan dengan negara jiran seperti Padang Terap, Kubang Pasu dan Pulau Langkawi memperketatkan pemeriksaan terhadap warga asing dan tempatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

"Jika dilihat pada trend serangan seperti yang berlaku di Indonesia, Khamis lalu, kumpulan ini menyasarkan kawasan tumpuan pelancong dan kedai seperti Starbucks jadi kita akan menggandakan anggota polis di kawasan tersebut selain mempertingkatkan pemantauan dan rondaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-88 Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah di sini, Ahad.

Zamri berkata, polis Kedah juga berhubung rapat dengan polis dari Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman bagi menerima maklumat mengenai kemasukan pengganas atau elemen berkaitan Daesh di Kedah bagi membolehkan tindakan lanjut.

"Polis Bukit Aman juga bekerjasama dengan pihak Thailand serta berkongsi maklumat sekiranya terdapat pergerakan orang yang disyaki terlibat dalam kumpulan ini yang cuba masuk ke Kedah tetapi setakat ini masih tiada apa-apa maklumat.

"Kita juga minta kerjasama orang kampung untuk menyalurkan maklumat kerana mereka (anggota pengganas) sering cuba mendapatkan sokongan orang tempatan untuk menyembunyikan kegiatan mereka daripada dihidu polis," katanya.

Katanya, pihak polis turut meminta kerjasama orang awam untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa jika melihat terdapat pihak tertentu yang mencurigakan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Selasa lalu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di sebuah pasar raya di Sungai Petani dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Daesh, juga dikenali sebagai militan IS.

Terdahulu, Zamri menerima anugerah Darjah Datuk Paduka Mahkota Kedah yang membawa gelaran Datuk daripada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-88. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain