suria

Kompleks Sukan Bakal Dibina Di Tapah Road - Saravanan

M. Saravanan.

TAPAH: Sebuah kompleks sukan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bakal dibina di Tapah Road bagi memenuhi keperluan belia di kawasan itu, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan. 

Saravanan yang juga anggota Parlimen Tapah berkata, pembinaan kompleks tersebut di atas tanah seluas 13 hektar akan dibina secara berperingkat dengan fasa pertama dijangka bermula bulan depan dan siap dalam masa setahun.  

"Kos bagi fasa pertama adalah sebanyak RM10 juta. Bagi fasa kedua, saya akan menunggu Rancangan Malaysia ke-12 untuk menambah kemudahan sekaligus menjadikan kompleks ini pusat untuk golongan belia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Zumba Fitness and Aerodance di Bukit Pagar di sini, Ahad.

Lebih 250 orang menyertai program berkenaan anjuran Majlis Belia Daerah Batang Padang bersama Kelab Kecergasan Tapah serta Pejabat Parlimen Tapah. 

Mengulas lanjut mengenai kompleks sukan itu, Saravanan berkata, walaupun kemudahan itu dibina di sini, namun ia boleh digunakan oleh semua rakyat sesiapa sahaja khususnya rakyat Perak. 

Mengenai program Zumba Fitness and Aerodance, Saravanan berkata, ia akan diadakan tiga kali sebulan di Dewan Merdeka di sini bagi menggalakkan belia di kawasan itu menyertai program kesihatan.

"Kos akan dibiayai anggota Parlimen Tapah. Kita lihat sambutan luar biasa apabila dalam masa yang singkat kita dapat kumpul belia untuk bersama-sama menyertai program ini," katanya. - Bernama

M Saravanan

Artikel Lain