suria

ATM Sedia Kerah Anggota Tangani Ancaman Daesh - Hishammuddin

Hishammuddin (tengah) ketika sidang media Program Hala Tuju Kementerian Pertahanan 2016 di sebuah hotel di Genting Highlands pada Ahad. Foto Bernama

GENTING HIGHLANDS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersedia menggerakkan anggotanya ke kawasan tertentu di negara ini bagi mengawasi ancaman serangan kumpulan Daesh jika diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu keganasan Daesh ini memerlukan perbincangan yang teliti dan keperluan untuk melibatkan anggota tentera perlu diputuskan oleh MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Dalam membanteras jenayah, anggota tentera memang telah lebih awal terlibat dengan anggota polis membuat rondaan di bawah Strategi Lautan Biru dan kerjasama anggota tentera dengan polis memang tidak jadi masalah. 

"Keputusan untuk melibatkan anggota tentera (untuk menghadapi serang Daesh) bukan di bawah kita tetapi MKN yang akan menentukan, kita tunggu arahan dan bersandarkan kepada undang-undang negara," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Hala Tuju Kementerian Pertahanan, di sini Ahad.

Beliau ditanya pemberita sama ada ATM akan mengerahkan anggotanya mengawasi kawasan-kawasan tertentu dalam negara susulan serangan di Jakarta baru-baru ini.

Mengenai ancaman Daesh, Hishammuddin berkata, pihaknya telah melakukan siapsiaga menerusi Kor Risik dan Unit Anti Keganasan ATM yang sudah lama bergerak serta bekerjasama dengan semua pasukan keselamatan.

Katanya, kementerian turut menjalankan diplomasi pertahanan dengan negara-negara tertentu dan mengadakan perkongsian maklumat dengan negara-negara yang telah lama menghadapi ancaman ini.

"Ancaman Daesh ini bukan sahaja kita tetapi dunia juga berusaha untuk menanganinya. Kita mesti tangani bersama di mana hubungan dengan negara-negara tertentu mesti diperkukuh," katanya. - Bernama

Daesh

Artikel Lain