suria

Rompakan Berkumpulan: Rakyat Malaysia Dipenjara 7 Tahun, 12 Sebatan

SINGAPURA: Seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan 12 sebatan kerana terlibat dalam rompakan berkumpulan pada 2014, lapor Channel NewsAsia pada Khamis.

Ravi Sandhira Sagaran, 28, merupakan anggota pertama kumpulan yang mengaku terlibat dalam rompakan tersebut.

Laporan itu menyebut, tujuh lagi tertuduh termasuk enam rakyat Malaysia dan seorang penduduk tetap Singapura berumur antara 29 dan 43 tahun.

Kumpulan lapan perompak itu dikatakan telah merancang dengan teliti jenayah mereka lebih dua bulan.

Mereka bertindak merompak seorang pengurus perniagaan pengurupan wang berusia 35 tahun yang memiliki sejumlah besar wang tunai, kata laporan itu.

Selepas empat cubaan dibatalkan pada Oktober 2014, perompak berkenaan berjaya melarikan wang tunai berjumlah S$624,036.41 (kira-kira RM1.903 juta). -- Bernama


Singapura, Ravi Sandhira Sagaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain