suria

El Nino: Telaga Tiub Atasi Masalah Bekalan Air

Gambar Hiasan

KOTA BARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan menggunakan sumber air bawah tanah melalui telaga tiub bagi menampung kekurangan bekalan air yang mungkin berlaku berikutan fenomena El Nino.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Kelantan Datuk Hanifa Ahmad berkata setakat ini terdapat lebih 30 telaga tiub yang boleh membekalkan air kepada 33 loji rawatan air di negeri ini.

"Sekiranya air Sungai Kelantan surut dan bermasalah untuk disedut masuk ke loji rawatan air, kita akan menyedut air dari telaga tiub masuk ke dalam loji tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis apresiasi media Kelantan di sini, Rabu malam.

Hanifa berkata jawatankuasa khas peringkat jajahan (daerah) telah diwujudkan bagi membuat persiapan menghadapi kesan daripada fenomena El Nino tersebut termasuk mengenal pasti kawasan yang dijangka menghadapi kekurangan bekalan air.

"Lokasi yang dijangka menghadapi kekurangan bekalan air ialah Bachok, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tanah Merah namun setakat ini kawasan terbabit tidak ada masalah," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini mengeluarkan kenyataan cuaca panas dan kering yang kini berlaku di Perlis dan Kedah dijangka turut dirasai di seluruh Semenanjung pada penghujung Januari hingga Mac ini.

Sementara itu, Hanifa berkata Kelantan dijangka menandatangani perjanjian migrasi air di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada akhir Mac depan.

Beliau berkata kini pihaknya dalam proses terakhir untuk memuktamadkan perjanjian berkaitan migrasi air itu yang bakal menyaksikan aset milik AKSB akan diuruskan oleh PAAB sekali gus akan meningkatkan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain