suria

Perlu Gudang Khas Import, Eksport Untuk Bendung Penyeludupan - Shahidan

Kawalan pasukan keselamatan sentiasa dipertingkatkan bagi mengelak kegiatan penyeludupan di sempadan negara.

WANG KELIAN: Pembinaan sebuah gudang import dan eksport di sempadan Malaysia-Thailand amat diperlukan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata ini kerana kegiatan tidak bertanggungjawab itu merupakan antara ancaman utama kepada ekonomi serta menjadi punca kepada masalah lain di negara ini.

"Justeru, satu mekanisme yang lebih praktikal perlu diwujudkan. Jika ada sebuah gudang khas untuk para peniaga menjalankan proses import dan eksport, saya fikir kegiatan ini akan lebih mudah dikawal," katanya kepada Bernama ketika melawat Pos Imigresen Wang Kelian di sempadan negara baru-baru ini.

Beliau berkata laluan di sempadan itu berisiko menjadi laluan mudah untuk keluar masuk bagi tujuan penyeludupan sekiranya tiada langkah lebih proaktif diambil pihak berkuasa.

"Kegiatan penyeludupan sekarang guna kontena dan menggantung bawang sebagai maksud kenderaan itu membawa masuk/keluar bawang mentah, tetapi ada di antara guni bawang itu kotak barangan lain," katanya.

Shahidan berkata proses memindahkan barang dagangan yang diguna pakai ketika ini perlu dipertingkatkan supaya ia dilakukan secara lebih bersistematik.

"Sekarang ini barang berkenaan dipindahkan secara terus daripada satu lori ke lori yang lain tanpa melalui proses merekod bilangan dan jenis barangan yang dipindahkan.

"Secara tak langsung cara sebegini membuka peluang kepada penjenayah untuk membawa masuk barang-barang secara terlarang...ini yang kita tak mahu, berniagalah dengan elok serta ikut prosedur," katanya. 

Sementara itu, Shahidan berkata terdapat keperluan untuk menambah anggota di kawasan sempadan berkenaan bagi memperhebat lagi pengawasan terhadap kegiatan penyeludupan. 

"Saya dah minta pihak berkuasa dari ibu pejabat untuk datang menguatkuasa dan kita setuju untuk melibatkan anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dalam membantu pengawasan laluan masuk di sempadan," katanya.

Ditambah pula dengan kerjasama baik yang sentiasa diberikan pihak berkuasa Thailand, usaha membanteras jenayah penyeludupan terutama dadah akan lebih jitu, katanya yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, Shahidan turut mencadangkan agar laluan di zon pergerakan bebas ke pasar sempadan di sini yang dibatalkan 1 April tahun lepas dibuka semula kepada aktiviti perniagaan.

"Pada pandangan saya, pergerakan secara terbuka di depan pihak berkuasa adalah terbendung. Laluan ini memberi manfaat kepada negara serta dapat menjana ekonomi rakyat termasuk pelancongan," katanya. 

Katanya beliau akan berbincang dan meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri untuk membuka semula zon berkenaan.

Beliau berkata sekiranya langkah itu tidak mendatangkan ancaman kepada keselamatan rakyat, Kementerian Dalam Negeri boleh mempertimbangkan hal itu dengan secepat mungkin.-- Bernama 

Thailand, Shahidan Kassim, gudang, MKN

Artikel Berikut

Artikel Lain