suria

Isu Bauksit: Menteri Akui Kerajaan Lambat Bertindak

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengakui kerajaan lambat bertindak dalam menangani isu perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.

Namun, pada masa sama beliau menyokong tindakan kerajaan menghentikan kegiatan perlombongan itu selama tiga bulan.

"Ya, mungkin sedikit kelemahan daripada pihak kita, terlalu lewat bertindak dalam kes ini, namun demikian saya melihat lebih baik ada usaha sekarang daripada kita biarkan isu ini tidak ditangani langsung.

"Saya harap dengan tindakan yang diputuskan kerajaan kita dapat selesaikan isu ini termasuk masalah peneroka yang memajak dan membenarkan tanah mereka diterokai oleh syarikat bauksit ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan Pemuda Umno dalam usaha kerajaan menangani isu perlombongan bauksit yang mengancam kehidupan peneroka Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut menggesa kerajaan melanjutkan tempoh pemberhentian kegiatan tersebut sehingga satu penyelesaian menyeluruh diputuskan.

"Jadi seperti yang kita bincangkan tadi, Pemuda Umno amat sokong dihentikan dan minta (kerajaan) kaji isu ini dengan cukup mendalam isu bauksit ini," katanya.

Beliau berkata, sekiranya projek tersebut dibenarkan untuk beroperasi semula, kerajaan harus mengawal selia kegiatan ini dengan lebih ketat.

"Ini perlu dilakukan supaya tidak beri kesan buruk kepada alam sekitar, penduduk-penduduk tempatan dan mereka yang duduk di laluan utama pengangkutan, sungai, lautan dan sebagainya, katanya.

Sementara itu, Khairy berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap isu tersebut selain mengenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas.

"Kita harap siasatan ini tidak tertumpu kepada pegawai- pegawai rendah sahaja tapi dilakukan secara menyeluruh, sampai ke dalang yang mencetuskan masalah ini.

Beliau juga berharap agar tindakan tegas dikenakan terhadap  dalang yang memberi perlindungan kepada aktiviti perlombongan haram bauksit selain agensi pelaksana yang gagal melaksanakan tugas.

"Kita harap siasatan SPRM meyakinkan rakyat sebab rakyat nak lihat mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Khairy Jamaluddin, Bauksit

Artikel Berikut

Artikel Lain