suria

Mayat Lelaki Reput Ditemui Tidak Berpakaian

- Gambar hiasan
KUANTAN: Mayat lelaki tidak berpakaian ditemui sekumpulan pekerja tapak kuari di Bukit Sekilau, dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata mayat itu ditemui di bawah jambatan berhampiran kawasan kuari berkenaan kira-kira pukul 10.40 pagi.

Abdul Aziz berkata pemeriksaan awal mendapati mayat itu adalah lelaki berbangsa India dan sudah meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaannya yang sudah reput.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui berhampiran mayat itu dan kita perlu tunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata mayat itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

"Polis juga telah merekod keterangan pekerja kuari yang menemui mayat itu.Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Bagaimanapun, jika ada bukti baharu atau laporan bedah siasat menyatakan mangsa mati akibat perbuatan jenayah, kita akan tukar siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau juga memohon kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan atau mana-mana balai polis berhampiran.

mayat reput, Abdul Aziz Salleh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain