suria

Najib Dan Ku Nan Berjaya Gantung Prosiding Kes Saman PKR

Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Selasa berjaya menggantung prosiding kes saman oleh PKR atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib dan Tengku Adnan serta memutuskan terdapat keadaan khas bagi membolehkan kedua-dua defendan menggantung prosiding itu sehingga permohonan mereka untuk membatalkan saman itu selesai.

Beliau berkata jika permohonan untuk menggantung prosiding itu tidak dibenarkan, ia akan menyebabkan prejudis kepada Najib dan Tengku Adnan kerana mereka dikehendaki membekalkan dokumen berkaitan kes itu kepada plaintif.

"Jika dokumen-dokumen itu diserahkan kepada plaintif-plaintif dan sekiranya permohonan defendan-defendan (Najib dan Tengku Adnan) untuk membatalkan writ saman dibenarkan, mahkamah dapati ia akan prejudiskan mereka," katanya.

Mohd Zaki berkata plaintif-plaintif bagaimanapun tidak akan mengalami prejudis sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Najib dan Tengku Adnan kerana mereka boleh mendapatkan dokumen berkaitan kes itu kemudian, jika mahkamah tidak membenarkan permohonan membatalkan saman itu.

Mohd Zaki menetapkan 11 November sebagai tarikh akhir untuk pengurusan kes bagi membolehkan semua pihak memfailkan afidavit berhubung kes itu.

"Kalau boleh saya tidak mahu kes ini dilambatkan,' katanya.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Tengku Adnan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan daripada anak guamnya juga supaya menyegerakan kes itu.

Pada 12 Ogos lepas, PKR memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen PRU ke-13 dan melanggar undang-undang pilihan raya.

Plaintif dalam saman itu ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Anggota Parlimen Batu Tian Chua, bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Gerakan Harapan Baru Dr Dzulkefly Ahmad.

Mereka menamakan Najib, Tengku Adnan, firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan.

Artikel Lain