suria

1MDB Tidak Berhutang Dengan IPIC - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan kononnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) milik Kementerian Kewangan berhutang dengan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) sebanyak AS$481 juta.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa, perdana menteri berkata, penyata kewangan 1MDB yang berakhir 31 Mac 2014 tidak menyatakan jumlah terbabit yang dikatakan ditanggung oleh syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

"Nota di dalam penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 dengan jelas menyatakan tiada jumlah tersebut yang ditanggung 1MDB terhadap IPIC.

"Ingin ditekankan juga, mana-mana pihak berhak menentukan kaedah pelaporan penyata kewangan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) berhubung jumlah pembayaran yang dibuat 1MDB untuk menebus opsyen syarikat Powertek Investment Holding dan 1MDB Energy (Langat) daripada Aabar Investment.

Selain itu Pua turut bertanya sama ada 1MDB masih berhutang sebanyak US$481 juta seperti tercatat dalam laporan audit IPIC untuk Disember 2014.

Sebelum ini Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata, The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan 1MDB meminjam AS$3.5 bilion dengan jaminan IPIC dan meletakkan AS$1.4 bilion "deposit boleh bayar balik" sebagai cagaran dengan IPIC.

Syarikat itu kemudiannya menamatkan pilihan yang diberikan kepada IPIC atau anak syarikatnya, Aabar Investment dan membayar pampasan AS$993 juta daripada November 2014, AS$1.22 bilion daripada pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman dan AS$975 juta pinjaman daripada konsortium yang diketuai Deutsche Bank.

Ekoran itu, didakwa 1MDB masih lagi berhutang dengan IPIC sejumlah AS$481 juta sehingga 31 Disember, 2014.

1MDB, IPIC

Artikel Lain