suria

Bateri Vape Terbakar Kes 'Tak Tahu'

PETALING JAYA: Insiden bateri vape terbakar dalam pesawat telah diperbesar-besarkan, kata Presiden Malaysian Organisation of Vape Entities (MOVE) Samsul Kamal Ariffin.

Ia boleh dielakkan jika pengguna mempunyai pengetahuan asas mengenai bagaimana untuk mengendalikan peranti itu, katanya.

"Kami percaya ia adalah kes 'tidak tahu'," katanya, Isnin.

Seorang penumpang Malindo Air, yang dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada Sabtu, melecur di bahagian paha dan tangan kiri apabila bateri rokok elektronik yang diletakkan dalam bekas di atas ribanya tiba-tiba terbakar.

Dia telah dirawat oleh seorang doktor yang juga seorang penumpang di atas pesawat itu. Anak-anak kapal berjaya memadamkan api dan pesawat itu mendarat dengan selamat.

Samsul berkata terdapat dua jenis bateri rokok elektronik iaitu lithium-ion dan lipo.

"Bateri yang boleh dicas semula seperti lithium-ion harus dipisahkan daripada peranti kerana ia mudah meletup.

"Bateri lipo adalah bateri yang dipasang di dalam peranti. Ia lebih stabil. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah mematikannya dan meletakkannya dalam mod tidur, seperti mana-mana bateri lain yang mengendalikan peranti," kata Samsul.

Dipercayai bateri yang meletup pada Sabtu adalah bateri jenis lithium-ion.

Samsul berkata MOVE, yang menyokong peraturan industri vape di Malaysia berkata, kes itu telah menyokong desakan badan bukan kerajaan supaya peraturan-peraturan dapat ditetapkan.

"Apabila perkara seperti ini berlaku, walaupun ia kes terpencil, ia akan diperbesar-besarkan kerana vape kini menjadi satu topik yang hangat di kalangan orang ramai," katanya.

Malaysia Airports Berhad berkata pihaknya telah mengenakan langkah-langkah keselamatan tambahan selepas kejadian itu.

"Kami telah melaksanakan langkah-langkah keselamatan tambahan, berkuatkuasa serta-merta, di mana penumpang akan diminta untuk menanggalkan bateri daripada alat tersebut," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Malindo Air berkata syarikat penerbangan itu akan memulakan perbincangan dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk mengkaji semula prosedur keselamatan.

"Kami ingin mengingatkan para penumpangnya supaya tidak membawa bateri ganti dalam pesawat, tidak menyambung mana-mana peranti elektronik mudah alih dengan sumber kuasa semasa dalam penerbangan dan tidak meninggalkan sebarang peranti elektronik mudah alih tanpa penjagaan," katanya dalam satu kenyataan.

Malindo Air berkata ia telah membuat laporan polis dan telah mengemukakan kes itu kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Pengarah operasi penerbangan DCA Datuk Yahaya Abdul Rahman bersetuju bahawa kes itu adalah terpencil tetapi masih berbahaya.

"Oleh kerana ini melibatkan isu keselamatan, kami meneliti untuk mengenakan peraturan yang ketat," katanya.

Menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, peranti merokok dilarang untuk didaftar masuk sebagai bagasi tetapi dibenarkan dibawa masuk di dalam pesawat.

Artikel Lain