suria

GST Kurangkan Kebergantungan Negara Terhadap Petroleum

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap hasil berkaitan petroleum dan mengurangkan impak penurunan harga minyak mentah.

Menurut Laporan Ekonomi 2015/2016, peratusan hasil berkaitan petroleum berbanding hasil keseluruhan pendapatan negara menunjukkan penurunan daripada 41.3 peratus pada 2009 kepada 30 peratus pada 2014, meskipun purata harga minyak mentah dunia kekal tinggi pada US$95 setong dalam tempoh itu.

Peratusan ini dijangka terus berkurangan kepada 19.7 peratus daripada jumlah hasil negara pada tahun ini berikutan kejatuhan ketara harga minyak mentah.

Sebaliknya, peratusan hasil bukan petroleum meningkat daripada 58.7 peratus pada 2009 kepada 70 peratus pada 2014 dan dijangka terus meningkat kepada 80.3 peratus pada 2015, menurut laporan itu.

Peningkatan hasil bukan petroleum ini turut disumbangkan oleh kutipan GST yang dilaksanakan pada 1 April tahun ini menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

Pada tahun ini, hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat kepada RM222.5 bilion manakala peratusannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka kekal 19.2 peratus walaupun kutipan hasil berkaitan petroleum dan hasil bukan cukai adalah rendah.

Dengan pelaksanaan GST, cukai tidak langsung dijangka melonjak 42.2 peratus kepada RM53.3 bilion dengan bilangan syarikat berdaftar meningkat kepada 390,378 sehingga Sept tahun ini berbanding anggaran asal yang lebih rendah sebanyak 146,000 syarikat.

Menurut laporan itu, pertambahan bilangan syarikat berdaftar mendorong kepada pematuhan cukai yang lebih baik oleh syarikat dan pada tahun 2015, kutipan GST dianggarkan berjumlah RM27 bilion berbanding unjuran asal RM21.7 bilion.

Pengenalan GST merupakan suatu pembaharuan cukai yang penting memandangkan ia adalah satu sistem yang saksama , cekap dan dapat memperluas asas percukaian.

Menurut laporan itu juga, GST dilaksanakan dengan lancar, hasil kerjasama erat antara kerajaan dan perniagaan serta diterima baik oleh orang awam.


Artikel Lain