suria

Umno Bahagian Di Seluruh Negara Dijemput Sertai Perhimpunan 16 September

Sekumpulan lelaki dilihat menjual baju-T merah dengan logo perhimpunan kepada orang ramai di pintu masuk bangunan PWTC, Rabu.
KUALA LUMPUR: Umno peringkat bahagian di seluruh negara dilaporkan telah dijemput untuk menyertai Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos, salah satu daripada penyokong perhimpunan yang dipanggil perhimpunan 'baju merah' itu, mendakwa Umno bahagian beliau adalah antara yang menerima jemputan tersebut.

"Ketua-ketua bahagian telah menerima arahan untuk keluar beramai-ramai untuk menyokong perhimpunan tersebut.

"Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah memberikan lampu hijau kepada ahli-ahli parti untuk mengambil bahagian, jadi saya yakin jentera parti akan digerakkan sepenuhnya," kata Jamal ketika ditemui di PWTC pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditunjukkan satu pekeliling, kononnya daripada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

Pekeliling itu yang telah tersebar di media sosial, menggesa setiap bahagian menggerakkan 1,000 anggota, dengan semua perbelanjaan ditanggung oleh bahagian itu sendiri.

"Ya, kami telah menerima surat yang sama," katanya.

Kumpulan itu juga dilihat menjual baju-t merah dengan logo perhimpunan tersebut kepada orang ramai di pintu masuk bangunan PWTC.

Jamal berkata sebanyak 5,000 helai baju-T merah telah dijual setakat ini, dengan sasaran 600,000 helai T-dapat dijual menjelang 16 September di seluruh negara.

Beliau menjelaskan bahawa beliau bukan salah seorang penganjur perhimpunan tersebut sebaliknya hanya membantu menyebarkan berita ini.


"Penganjurnya adalah Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka). Kami telah diminta untuk membantu," katanya, merujuk kepada lebih 250 NGO Melayu dikatakan mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Beliau juga berkata bahawa beberapa pemimpin PAS telah menyatakan minat untuk menyertai perhimpunan tersebut, tetapi tidak menamakan mereka.

"Saya sendiri menerima panggilan daripada beberapa pemimpin PAS yang berkata mereka mahu menyertainya.

"Ini bukan perhimpunan politik. Sesiapa yang merasakan mereka adalah bangsa Melayu dialu-alukan untuk menyertai kami dan bebas untuk menonjolkan identiti mereka," katanya, sambil menambah peserta perhimpunan bebas untuk memakai sebarang warna kecuali kuning.

Walaupun pihak polis tidak membenarkan perhimpunan tersebut untuk diteruskan, Jamal berkata, kumpulan itu mempunyai hak untuk berhimpun dan akan memastikan perhimpunan itu adalah aman.

"Apa yang tersebar di media sosial bahawa perhimpunan itu akan bertukar ganas dan akan ada pertumpahan darah adalah satu pembohongan. Mereka hanya cuba untuk menakut-nakutkan orang ramai," katanya.

Artikel Lain