suria

Mesyuarat MT Umno: Muhyiddin Nyatakan Ketegasan

KUALA LUMPUR: "Saya ahli Umno totok," demikian komen ringkas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya mengenai pendiriannya terhadap Umno sejurus ditemui pemberita di lobi Menara Datuk Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Rabu.

Muhyiddin turut menegaskan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang berlangsung kira-kira tiga jam itu berjalan dengan lancar.

"Semuanya baik," katanya sebelum meninggalkan bangunan tersebut.

Turut mengiringi Muhyiddin keluar dari bangunan tersebut adalah Ketua Pemuda Umno , Khairy Jamaluddin.

Ia adalah mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang pertama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan Kabinet pada 28 Julai lalu dan menyaksikan Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet.

Sebaik sahaja keluar menuju ke pintu utama  Menara Datuk Onn, Muhyiddin turut diserbu penyokongnya yang sedia menunggu di luar bangunan sejak pukul 2 petang lagi.

Penyokong Ahli Parlimen Pagoh itu turut melaungkan sorakan "Hidup Tan Sri, Allahuakbar dan Hidup Umno Johor".

Sebelum Muhyiddin memasuki keretanya, penyokong beliau turut membacakan surah Al-Fatihah dan menyanyikan lagu Umno Johor.

Muhyiddin meninggalkan perkarangan menara kira-kira pukul 7.10 malam.

Umno, PWTC

Artikel Lain