suria

Mesyuarat MT Umno: Muhyiddin Kekal Sebagai Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR: Semua pimpinan tertinggi Umno sebulat suara bersetuju Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Timbalan Presiden Umno.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, Muhyiddin akan terus membantu Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkukuhkan parti.

"Semua setuju beliau (Muhyiddin) kekal sebagai timbalan presiden. Beliau akan membantu presiden memperkukuhkan Umno," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di lobi Menara Datuk Onn di sini Rabu.

Bung turut menafikan berlakunya pemecatan sebagaimana yang dilaporkan media baru-baru ini.

"Tiada perkara luar biasa berlaku. Semuanya ok, tiada sebarang ketegangan," katanya.

Ketika ditanya mengenai ucapan Muhyiddin semasa mesyuarat tersebut, Bung berkata, " tidak perlullah saya menjelaskan secara terperinci mengenainya."

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, terdapat dua agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut iaitu perpaduan dan melangkah ke hadapan untuk memperkukuhkan parti.

"Presiden meminta masalah yang dihadapi Umno diselesaikan dalam keluarga yang besar. Umno tetap bersatu dan melangkah ke hadapan," katanya.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata tiada sesiapa dipecat dalam mesyuarat tersebut.

"Semuanya berjalan dengan baik tiada sebarang pemecatan," katanya.


Umno, PWTC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain