suria

Mesyuarat MT Umno: Muhyiddin, Shafie Perlu Buktikan Kesetiaan - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal membuktikan kesedian masing-masing untuk setia dan membantu memperkukuhkan Umno.

Tegas Presiden Umno itu, kedua-dua bekas anggota Kabinet berkenaan yang juga timbalan dan naib presiden Umno perlu diberi tempoh untuk memperlihatkan komitmen mereka kepada parti.

"Bagi masa, kita bagi masa. Kalau kita dah buat komitmen dalam mesyuarat...kita amalkan, perlihatkan dari segi tindakan.

"Apa-apa yang kita lakukan termasuk ucapan-ucapan (perlu) menjurus kepada solidariti kepada parti dan masing-masing ada peranan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato' Onn di sini, Rabu.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Muhyiddin dan Shafie.

Pada sidang media itu Najib turut menolak sebarang cakap-cakap sebelum ini bahawa mesyuarat MT hari ini bakal membuat keputusan memecat tujuh ahlinya termasuk Muhyiddin dan Shafie.

"Tak ada dalam agenda langsung. All speculation outside (semua spekulasi dari luar)," katanya.

Selain itu Perdana Menteri berkata mesyuarat MT tersebut berlangsung dalam keadaan yang baik dengan semangat setiakawan.

"Saya mengalu-alukan penglibatan Tan Sri Muhyiddin sebagai timbalan presiden parti dan beliau telah menyatakan kesetiaan beliau kepada Umno dan kesanggupan untuk terus berjuang bagi memastikan kekuatan Umno dan kejayaan parti dalam pilihan raya akan datang.

"Atas komitmen beliau itu saya ucapkan banyak terima kasih.

"Saya juga ucap terima kasih kepada Datuk Seri Shafie Apdal yang melahirkan komitmen yang sama dan beliau telah menyatakan kesanggupan untuk bekerja demi kepentingan parti," katanya.

Umno, PWTC

Artikel Lain