suria

Satu Lagi Mayat Mangsa Bot Karam Ditemui

Anggota penyelamat mengangkat mayat yang ditemui pada Isnin. - fotoBERNAMA

HUTAN MELINTANG: Pasukan mencari dan menyelamat menemui satu lagi mayat mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam pada Isnin menjadikan jumlah angka korban terkini tragedi itu sebanyak 62 orang.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Klang, Komander Maritim Mohamad Faaiz Mohd Noor berkata mayat lelaki itu ditemui anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 3.30 petang.

"Pesawat udara APMM menerima maklumat bahawa satu mayat ditemui kira-kira enam batu nautika dari lokasi kejadian. Kita masih lagi menemui saki baki mangsa yang kita jangkakan akan bertambah dalam jumlah yang kecil," katanya pada sidang akhbar di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di Jeti Hutan Melintang di sini.

Hari ini (Isnin) masuk hari kelima misi mencari dan menyelamat mangsa bot karam dilakukan.

Mohamad Faaiz berkata mayat itu yang tiba di Jeti Hutan Melintang kira-kira 5.30 petang dan akan di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata identiti seorang daripada 62 mangsa yang terkorban telah dikenal pasti melalui pengecaman anggota keluarganya.

Beliau berkata mayat berkenaan yang kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh masih belum dituntut.

"Tujuh mangsa telah dituntut oleh keluarga masing-masing dan dalam perjalanan di bawa pulang ke Indonesia, manakala lima lagi mangsa akan dituntut anggota keluarga mereka sama ada petang Isnin atau pagi Selasa," katanya.

Mohd Shuhaily berkata sehingga kini, 29 mayat telah menjalani proses bedah siasat iaitu 23 di HRPB serta enam di Hospital Teluk Intan.

"Sebanyak 10 mangsa di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam selesai menjalani proses bedah siasat sementara 23 mangsa di HKL dalam proses bedah siasat.

"Kita juga mendapat maklumat dari HKL bahawa ada satu mayat ibu mengandung  yang berada di sana (HKL). Namun maklumat lanjut mengenai usia kandungannya masih belum diperolehi," kata Mohd Shuhaily.

Usaha mencari dan menyelamat yang bermula sejak Khamis lepas membabitkan 338 anggota daripada tujuh agensi antaranya APMM, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sehingga Isnin, pasukan mencari dan menyelamat menemui 62 mayat mangsa iaitu 23 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan dan 38 lelaki.

Sebanyak 20 lagi termasuk seorang wanita terselamat selepas bot yang membawa kira-kira 80 penumpang itu karam di perairan Selangor pada pagi Khamis lalu.

Bot sepanjang 40 kaki itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.

Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh.


bot karam, Sabak Bernam

Artikel Lain