suria

Ringgit Jatuh Ke Paras Terendah Baharu

PETALING JAYA: Bank pusat China membuat penyelarasan terhadap yuan untuk hari kedua berturut-turut, menyebabkan pasaran dan mata wang terasa bahangnya.

Ringgit terus jatuh berbanding dolar AS, mencecah aras rendah baru RM4.0275, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan nilai yuan.

Semua mata wang di rantau ini juga terus mengalami kemerosotan berbanding dolar AS.

Berasaskan tahun terkini, ringgit mengalami penurunan yang paling teruk di kalangan rakan-rakan Asia, dengan penurunan sebanyak 13.33 peratus.

Ini diikuti oleh rupiah (Indonesia), won (Korea Selatan) dan baht (Thailand) masing-masing pada kadar 9.88 peratus, 8.35 peratus dan 6.99 peratus.

Secara perbandingan, yuan kini turun kira-kira 4.61 peratus.

Kesan ke atas ringgit adalah lebih buruk berbanding negara-negara lain kerana Malaysia dilihat sebagai pengeksport bersih tenaga dan kini mengalami kemelesetan harga - berlegar di bawah paras AS$50 setong.

Pasaran saham di seluruh rantau ini jatuh dengan Indeks Komposit Jakarta mendahului dengan kejatuhan 3.1 peratus diikuti oleh Indeks Hang Seng Hong Kong yang turun 2.38 peratus.

Berlaku situasi genting di Bursa Malaysia di mana kira-kira 90 peratus daripada 1,000 saham disenaraikan ditutup lebih rendah.

Penanda aras KLCI jatuh untuk hari kelima berturut-turut, turun 26.8 mata semalam ditutup pada 1609 mata. Sejak Khamis lalu, indeks telah turun sebanyak 116 mata.

Pada Selasa, People Bank of China (PBOC)  memotong titik tengah harian yuan hampir dua peratus kepada 6.2298 berbanding dolar AS, turun dari 6.1162.

PBOC berkata pelarasan itu juga dilihat sebagai susut nilai 'sekali sahaja', sambil menambah bank pusat tersebut akan memantau pergerakan pasaran pada masa akan datang untuk menstabilkan jangkaan pasaran.

PBOC telah berjanji untuk berusaha menggalakkan pembaharuan dalam pertukaran asing supaya ia lebih "berorientasikan pasaran".

Ia dilihat sebagai penurunan nilai yuan dan pergerakan mata wang terbesar bagi ekonomi kedua terbesar di dunia sejak tahun 1994.

Penurunan nilai yuan telah mencetuskan kebimbangan bahawa kelembapan ekonomi China adalah lebih teruk daripada yang dijangkakan dan bank pusat terpaksa menurunkan nilai mata wang sebagai eksport jalan keluar dari keadaan.

Pakar ekonomi bebas Lee Heng Guie berkata penurunan nilai yang telah mencetuskan perang mata wang global mungkin berakhir dengan tiada pemenang.

Kesan ke atas susut nilai ringgit mungkin akan paling dirasai oleh syarikat-syarikat yang mengimport bahan-bahan mentah, pengguna dan ibu bapa yang mempunyai anak yang belajar di luar negara.

Artikel Berikut

Artikel Lain