suria

Usaha, Doa Berterusan Penuhi Hasrat Sebagai Tetamu Allah

Tabung Haji bertanggungjawab menguruskan jemaah dengan melakukan penambahbaikan dalam perkhidmatan setiap tahun.
ASSALAMUALAIKUM. Sebelum ini saya menceritakan mengenai hasrat saya untuk menunaikan ibadat haji setelah mendengar nasihat daripada anak seorang imam dan rentetan daripada pesanan itu, saya tidak berlengah untuk mendaftar sebagai bakal tetamu Allah.

Namun, apakah peluang saya cerah dan rezeki menyebelahi saya setelah mendaftar sebagai tetamu Allah kerana perlu menunggu kira-kira tujuh tahun lagi daripada tarikh pendaftaran untuk menjejakkan kaki ke Baitullah bagi kali pertama?

Persiapan saya tidak berakhir dengan sekadar membaca dan mendengar video berkisar ibadat haji tetapi kesungguhan saya untuk ke Tanah Suci menyebabkan saya sering ke paras 30 bangunan Lembaga Tabung Haji (LTH) untuk bertanya mengenai peluang saya.

Orang yang saya temui dikenali sebagai Haji Harun. Saya tidak kenal siapa dia. Tidak pernah bertemu beliau untuk sebarang urusan dan jauh sekali menemuramah dia sepanjang bertugas sebagai wartawan di Berita Harian. Saya memberanikan diri untuk bertanya bagaimana cara terbaik untuk saya terpilih sebagai jemaah 
haji bagi 2000 dan beliau pula tidak menjanjikan apa-apa ketika mendengar permintaan saya kerana ketika itu adalah sekitar lewat 1998.

Apabila di paras 30 LTH, saya terus memasuki ruang pejabat yang menempatkan hanya beberapa kakitangan di bahagian hadapan. Lantai 30 agak sepi.

“Assalamuaikum. Saya Raihanah. Macam mana nak memohon untuk pergi haji lebih awal?” tanya saya. Itu antara pertanyaan saya kepada seorang kakitangan yang saya sapa sejurus memasuki ruang pejabat di paras 30.

“Waalaikumsalam,” balas petugas di situ sambil tersenyum. 

“Puan boleh tanya Haji Harun. Tunggu sebentar. Saya panggil,” kata petugas berkenaan.

“Ok. Terima kasih,” jawab saya ringkas.

Tidak sampai lima minit muncul seorang lelaki bertubuh kecil di hadapan saya.

“Haji Harun?” tanya saya.

“Ye. Kenapa?

“Haji, saya Raihanah. Baru daftar untuk pergi haji tahun ini tapi boleh tak saya nak pergi awal daripada tahun yang ditetapkan oleh LTH?” tanya saya.

“Sukar. Semua jemaah perlu ikut giliran,” tegas beliau.

“Boleh tak jika saya buat rayuan untuk pergi awal?” tanya saya terus.

“Boleh. Tapi saya tidak janjilah. Dalam surat nanti, maklumkan kepada kami kenapa hendak pergi awal,” pesan Haji Harun lagi.

“Baiklah. Terima kasih haji,” balas saya sedikit lega.

Kursus haji antara yang sentiasa dilaksanakan Tabung Haji untuk jemaah Malaysia.

Dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Pandan, pelbagai perkara bermain dalam fikiran dan dalam masa yang sama, saya begitu ingin ke Baitullah. Usaha saya tidak terhenti di situ. Entah dari mana datang idea saya mahu menghantar surat rayuan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Hamid Othman yang ketika itu bertanggungjawab perihal urusan agama, termasuk haji.

Namun, tidak sekali pun saya bertemu dan menemuramah beliau. Wajarkah saya bertemu dengan beliau hanya untuk memohon rayuan agar usaha saya untuk mengerjakan ibadat haji tercapai? Saya pendamkan hasrat hati.

Hari terus berlalu. Pada suatu pagi, saya terbaca di dalam akhbar Berita Harian kenyataan LTH agar semua jemaah yang mahu menunaikan ibadat haji pada 2000 bersamaan 1420 Hijrah perlukan memastikan bahawa tabungan mereka cukup sebelum November 1998.

Walaupun rayuan belum dikemukakan kepada LTH tetapi saya mencukupkan tabungan terlebih dahulu. Itu antara usaha saya selain tidak henti-henti berdoa agar dipilih sebagai tetamu Allah. Masa terus berlalu dan 1998 melabuhkan tirai. Namun, semangat saya untuk ke Makkah tidak luntur. 

“Busu nak pergi Makkah,” spontan suami saya, Abdul Rahman, berkata-kata.

“Bila dan dengan siapa lagi?” balas saya.

“Insha Allah tahun depan (2000). Busu pergi suami isteri. Bawa biras sekali,” jawab suami.

Busu Adnan adalah bapa saudara suami saya. Beliau akan ke Tanah Suci bersama-sama isteri yang saya kenali sebagai Busu Asmah dan biras mereka, yang saya panggil ‘mummy’. Ketiga-tiga mereka berusia lingkungan 60-an ketika itu dan sudah beberapa kali ke Tanah Suci untuk menunaikan haji dan umrah.

Hati saya semakin kuat dan terus bersemangat apatah lagi mendengarkan berita bahawa ada waris sebelah suami mahu menunaikan ibadat haji manakala di Singapura pula, nenek saya, ibu saudara bersama suami beliau akan turut mengerjakan haji pada 2000.

Saya terus mendapat kekuatan untuk memohon rayuan kepada LTH berhubung hasrat saya.  Allah membuka pintu hati saya untuk menulis surat kepada LTH dengan alasan tabungan saya sudah mencukupi dan mempunyai waris daripada sebelah suami yang akan turut mengerjakan ibadat haji.

Tanah Suci Makkah sentiasa penuh sesak dengan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.

Setelah melengkapkan surat untuk dihantar kepada LTH, saya tergerak hati untuk turut menghantar rayuan itu kepada Dr Abdul Hamid walaupun keraguan bersarang dalam fikiran adakah rayuan saya akan ‘dipandang’ dan seterusnya diterima. Surat rayuan itu saya hantar ke LTH dan turut menyerahkannya kepada setiausaha politik Dr Abdul Hamid ketika itu.

Ketika menyerahkan surat berkenaan. Saya hanya meminta agar permohonan saya ditimbangkan sewajarnya jika ada kekosongan atau pembatalan daripada jemaah yang dijadualkan pergi pada tahun berkenaan.

Saya fikir, itu adalah usaha terakhir saya. Jika rezeki benar-benar menyebelahi saya, Allah akan menjemput saya sebagai tetamu-Nya. Doa sudah, usaha sudah dan akhirnya saya tawakal kepada Allah untuk menentukan segala-galanya.

Masa terus berlalu. Nenek di Singapura sudah mendapat tahu tarikh berangkat ke Tanah Suci sedangkan saya di Kuala Lumpur belum mendapat sebarang khabar berita daripada LTH. Tiada persiapan yang saya lakukan kecuali mendengar kaset dan menonton video ibadat haji. 

Tatkala itu, saya sering bersedih dan setiap kali berdoa, air mata saya mengalir memikirkan hasrat di hati masih di awang-awangan. Doa, doa dan doa. Di mana sahaja saya berdoa, tidak semestinya di atas sejadah.

Antara doa yang tidak dapat saya lupakan adalah sewaktu perjalanan pulang dari pejabat setelah saya mendapat tahu tarikh nenek dan ibu saudara ke Tanah Suci adalah saya tidak mahu apa-apa lagi ketika itu kecuali Allah mengundang saya sebagai tetamu-Nya untuk menyempurnakan haji.  

Terasa begitu pantas 1999 meninggalkan saya. Sejurus memasuki ambang 2000, sepucuk surat ibu saya terima daripada LTH. Beliau lantas menghubungi saya di pejabat. Ketika itu akhir Ramadan dan hanya tinggal beberapa hari lagi untuk menyambut Aidilfitri.

“Ana, ada surat daripada LTH,” ujar ibu.

“Ibu buka dan bacakan,” pinta saya.

Ibuku membacakan kandungan surat itu. Berderai air mataku mendengarnya. Alhamdulillah saya diterima sebagai tetamu Allah untuk menunaikan ibadat haji pada 23 Februari 2000. Segala usahaku tidak sia-sia. Doaku didengar dan diterima oleh Maha Esa. Saya benar-benar bersyukur.

Sekembali ke rumah saya memeluk ibu dan memohon agar terus mendoakan supaya segala urusanku dipermudahkan. Gementar. Itulah perasaan saya ketika itu ketika memikirkan bakal menjadi tetamu Allah untuk kali pertama. Saya tidak mempunyai sebarang pengalaman kerana tidak pernah menunaikan umrah dan 
tiada pula waris paling dekat pergi bersama-sama dari Kuala Lumpur.

Menerusi surat itu juga, saya dikehendaki menghadiri kursus haji perdana di Muzium Negara. Terasa banyak yang saya tidak tahu mengenai ibadat haji setelah menjalani kursus haji perdana sehari semalam.  Terasa ilmu tidak cukup untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya kongsikan masalah itu dengan ibu saudara yang bakal ke Tanah Suci juga.

Melontar melengkapkan ibadah haji umat Islam.

Alhamdulillah, beliau mengaturkan kursus haji intensif untuk saya di Singapura, khusus untuk wanita. Tiada istilah penat untuk diri saya ketika itu kerana sangat bersyukur dengan anugerah dan hadiah yang cukup besar dalam hidup saya pada ulang tahun ke-35, Januari tahun itu.

Setelah menjalani kursus ibadat haji intensif dari pagi hingga senja, banyak persoalan yang terjawab dan fikiran saya lega manakala diri semakin teruja untuk melangkah ke Madinah dan Makkah. 

Kesibukan memuncak. Banyak yang perlu disediakan. Segala keperluan ibadat haji perlu disediakan. Suami dan ibuku banyak membantu dalam hal ini. Alhamdulillah.

Kenduri doa selamat sebelum berangkat ke Tanah Suci dirancang walaupun saya maklumkan kepada ibu bapa tidak perlu mengadakannya.

“Tak payahlah. Ana kerja setiap Sabtu. Ahad nak cari barang lagi,” ujar saya mendengar permintaan ibu bapa hendak mengadakan doa selamat.

“Sempat, kita buat hari Ahad,” balas ibu.

“Ahad? Ana nak berangkat Rabu. Penat pula nanti,” balas saya pula.

“Bukan kita masak, semua katering,” ujar ibu bersungguh-sungguh.

Melihatkan kesungguhan ibu bapaku, akhirnya saya ikut sahaja kehendak mereka. Ramai jiran dan saudara-mara yang terkejut menerima berita saya akan menjadi tetamu Allah untuk musim haji pada tahun itu. Mereka mengucapkan Alhamdulillah dan tahniah kerana diundang sebagai tetamu-Nya.

Ikuti kisah keberangkatanku ke Tanah Suci pada tanggal 23 Februari 2000 dan kali pertama pada minggu hadapan, insha Allah.


Tabung Haji, Makkah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain