suria

Jangan Goyah Sokong Kepimpinan PM - Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

BERA: Anggota Umno Bera diingatkan untuk tidak goyah daripada terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berhadapan dengan fitnah secara terbuka dari media sosial pada masa kini.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata fitnah itu, termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah agenda untuk merosakkan parti yang turut boleh menyebabkan pentadbiran orang Melayu dan Islam di negara ini berakhir.

"Saya harap orang di Bera tidak akan goyah. Tidak usah bimbang dan jangan ragui pemimpin kita dari segi amanah.

"Mereka menyerang pemimpin dan kalau pemimpin serta parti kita lemah, akhirnya parti akan mengalami keruntuhan," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda Bera di sini, Sabtu.

Mesyuarat itu dirasmikan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera turut mengingatkan anggota parti untuk tidak hilang fokus dalam perjuangan mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu, meskipun parti sedang melalui saat mencabar selepas rombakan Kabinet pada 28 Julai lepas.

Najib dalam rombakan itu menggugurkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Timbalan Presiden Umno.

"Adalah perkara biasa untuk tukar timbalan perdana menteri dalam proses kerajaan. Jangan jadikan ia perkara yang boleh memesong fokus kita daripada bekerja. Niat kita adalah untuk menang pada pilihan raya akan datang," katanya. -- Bernama

Ismail Sabri Yaakob, Umno, 1MDB

Artikel Lain