suria

Tidak Perlu Tunggu Lebih Lama Selesai Isu Dalam Parti - Khaled Nordin

Mohamed Khaled Nordin.

KLUANG: Umno perlu menyelesaikan segera isu sedia ada yang melanda parti dan tidak harus menunggu lebih lama lagi untuk memperbetulkan keadaan itu.

Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi amaran bahawa semakin lama masa diambil untuk menyelesaikan permasalahan itu, lebih banyak bencana akan melanda parti.

"Jika kita biar isu itu berlarutan, ia akan bertukar menjadi kanser untuk parti," katanya pada sidang media pada majlis perasmian mesyuarat Umno Bahagian Sembrong di SM Sains Sembrong di sini, Sabtu.

Mohamed Khaled berkata ahli Umno harus menerima dan mengakui bahawa parti itu tidak berada dalam kedudukan yang baik sekarang.

"Kita perlukan harapan baharu dan perlu bertindak segera untuk menyelesaikan isu tersebut, tidak boleh tunggu lagi.

"Bukan mudah untuk kita tetapi kita perlu melakukannya," kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata Johor bergantung kepada peranan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menyuarakan suara aspirasi Umno Johor di peringkat tertinggi.

"Kami melihatnya (Hishammuddin) sebagai pemimpin masa depan negara dan hanya masa yang akan menentukannya," kata beliau.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata pemimpin Umno perlu mula melibatkan generasi muda bagi memastikan kesinambungan dan kelangsungan parti.

Katanya, golongan muda Melayu tidak lagi mempunyai pemikiran sama seperti nenek moyang mereka.

"Mereka lebih berpendidikan dan melihat sesuatu perkara dari perspektif global dan tidak lagi di peringkat lokal," katanya.

Beliau berkata mereka juga vokal tetapi itu tidak bermaksud mereka anti-penubuhan tetapi sekadar menyuarakan hak mereka.

Jelasnya lagi, jika kepimpinan Umno sedia ada gagal menarik golongan muda, mereka akan menjauhkan diri daripada parti.

Sementara itu, Hishammuddin, yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong berkata parti mahu isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan secepat mungkin demi kebaikan Umno.

"Biar mereka yang ditugaskan untuk menyiasat isu itu melaksanakan tugas mereka tanpa sebarang campur tangan daripada pihak lain," katanya.

Mohamed Khaled Nordin, Umno, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Lain