suria

"Selamat Hari Jadi Najib, Bersaralah Dengan Aman"

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan hari ulang tahun kelahirannya ke-90 di Hotel Berjaya Times Square pada Jumaat malam. -foto BRIAN MOH/The Star

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi gesaannya supaya Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Namun kali ini gesaan bekas Perdana Menteri itu dibuat dalam situasi yang sedikit berbeza iaitu ketika Najib baharu sahaja menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-62.

"Saya harap beliau bersara dengan gembira, aman dan menikmati persaraannya," katanya sinis sebagai ucapan selamat hari jadi kepada Najib.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-90 anjuran tokoh perniagaan, Tan Sri Vincent Tan di Hotel Berjaya Times Square di sini, Jumaat malam.

Turut diraikan ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-89 pada 12 Julai lalu.

Najib menyambut hari ulang tahun kelahiran pada 23 Julai sementara Dr Mahathir pada 10 Julai lalu.


Ditanya apakah harapan sempena ulang tahun kelahirannya, bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu berkata: "Saya harap semua perkara berakhir secepat mungkin."

Dipercayai Dr Mahathir merujuk kepada pelbagai isu yang berlaku membabitkan pentadbiran Najib termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berhubung perintah penggantungan dua penerbitan akhbar The Edge, Dr Mahathir berkata: "Sudah tentu The Edge perlu ditapis dan sekarang rakan-rakan saya juga menjadi sasaran.

"Saya tak tahu mengapa."

Bagaimanapun Dr Mahathir tidak menjelaskan dengan lebih lanjut siapa yang dimaksudkan dengan rakan-rakannya itu.

Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan bermula 27 Julai.

Artikel Lain