suria

"The Edge Tak Lakukan Apa-Apa Kesalahan, Akan Terus Lapor" - Ho Kay Tat

PETALING JAYA: The Edge akan terus membuat laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun berdepan tiga bulan penggantungan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Pegawai Eksekutif dan penerbit Ho Kay Tat berkata akhbar mingguan itu tetap mempertahankan penerbitannya, menyatakan bahawa tidak ada sebarang kesalahan yang mereka telah lakukan.

Beliau menegaskan bahawa artikel yang dikeluarkan oleh The Edge tidak pernah dicabar.

"Ada banyak perkara untuk dilaporkan. Banyak yang sedang berlaku (melibatkan 1MDB). Malah pada hari ini, Bank Negara sedang mencari dua individu bagi membantu siasatan.

"Kami akan meneruskannya sebaik mungkin, untuk melaporkan apa yang sedang berlaku di Malaysia dan dalam dunia kewangan," katanya kepada pemberita di pejabat akhbar mingguan itu di sini, Jumaat.

Ho berkata The Edge akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar perintah penggantungan oleh KDN pada Isnin.

"Kami mengharapkan perbicaraan segera mengenai perkara itu," katanya.

Ho sebelum itu menemui kakitangan untuk menjelaskan tentang situasi yang berlaku.

"Kakitangan akan terus menerima gaji penuh dalam masa penggantungan itu," katanya.

Ho berkata penerbitan secara digital akan dibuat bagi membolehkan kakitangan untuk terus bekerja.

Seorang pekerja yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, kakitangan tidak patah semangat terhadap penggantungan itu.

Seorang lagi pekerja berkata pasukan berita menjalankan tugas-tugas seperti biasa.

KDN pada Jumaat menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai.


1MDB, gantung permit, Ho Kay Tat

Artikel Lain