suria

Rafizi Nafi Fitnah PM Dan Isteri Berhubung Subsidi Minyak

Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa bahawa beliau tidak memfitnah Perdana Menteri dan isteri berhubung dengan isu penghapusan subsidi minyak.

Mohd Rafizi berkata beliau telah dijemput untuk memberi ceramah di Bandar Tun Razak pada 22 November tahun lepas mengenai kepentingan mengekalkan subsidi minyak bagi memastikan kos hidup rakyat dapat dikurangkan.

"Kenyataan tersebut merupakan suatu komen yang berpatutan dan dibuat dalam keadaan perlindungan bersyarat.

"Perkataan yang didakwa ‘memfitnah’ itu adalah dilindungi oleh perlindungan mutlak," katanya dalam pernyataan pembelaan bertarikh 8 Julai yang disediakan kepada pemberita, Jumaat.

Mohd Rafizi mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sambil menambah pasangan itu tidak berhak untuk memfailkan tuntutan mahkamah terhadapnya.

Katanya, sebagai Ahli Parlimen, tugas dan tanggungjawab beliau termasuklah mempertanggungjawabkan kerajaan dalam keputusan, tindakan dan polisi serta ketelusan mereka, selain memberikan perhatian kepada isu-isu awam.

Beliau berkata subsidi bahan api telah dihapuskan pada akhir tahun lepas dan ia mempunyai kesan yang apabila rakyat Malaysia terpaksa membayar lebih untuk pelbagai barangan pengguna.

Rafizi turut mengemukakan tuntutan balas dengan mendakwa, tindakan saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah sehinggakan beliau mengalami kerugian dan pihaknya menuntut ganti rugi daripada Najib dan Rosmah.

Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Noraini Abdul Rahman menetapkan 5 Ogos untuk pengurusan kes ini.

Pada 16 April lalu, Najib dan Rosmah selaku pihak plaintif atas kapasiti peribadi masing-masing memfailkan saman tersebut terhadap Rafizi dan pemilik portal dalam talian Mediarakyat.com, MR Multimedia, Chan Chee Kong.

Mereka berkata rakaman ucapan  telah dimuat naik Chee Kong ke YouTube, laman web Media Rakyats dan Facebook.

Pasangan itu juga mahu Chee Kong mengeluarkan rakaman itu dari YouTube, laman web Media Rakyats dan laman Facebook berkuatkuasa serta merta dari tarikh penghakiman.

Artikel Berikut

Artikel Lain