suria

"Saya Ditawarkan RM7.6 Juta Untuk Data Yang Dicuri" - Justo

BANGKOK: Warga Swiss, Xavier Andre Justo mendakwa dia dijanjikan AS$2 juta (RM7.6 juta) sebagai pertukaran dengan data yang diambil daripada bekas majikannya PetroSaudi International.

Justo, yang kini dipenjara di Thailand berkaitan cubaan memeras ugut bekas majikannya memberitahu The Straits Times dalam satu temu bual di penjara bahawa dia tidak pernah dibayar apa yang telah dijanjikan oleh seorang ahli perniagaan terkemuka Malaysia.

Justo mendakwa perjanjian dicapai di Singapura pada Februari berhubung penjualan dokumen-dokumen, diikuti perbincangan panjang tentang bagaimana wang itu akan dibayar kepadanya.

Kumpulan orang yang ditemuinya di Singapura untuk berunding tentang penjualan data itu telah dinamakan dalam pengakuan 22 muka surat Justo yang dibuat kepada polis Thailand.

Dia menunjukkan salinan pengakuan itu kepada The Straits Times.

"Saya cuba untuk membuka akaun di Singapura, untuk mendapatkan wang yang dibayar secara terus dari akaun (pembeli)," kata Justo.

"DBS Bank menolak, saya tidak tahu mengapa. Selepas itu saya membuka akaun di Abu Dhabi dengan nama saya sendiri di mana ia telah ditolak oleh (pembeli) kerana akaun itu atas nama saya."

"Kemudian saya cuba menggunakan akaun syarikat saya di Hong Kong dan beliau berkata perkara yang sama, selepas itu melalui syarikat Luxembourg dan sekali lagi (pembeli) enggan dan selepas itu Clare Brown mengetuainya," katanya.

Dia merujuk kepada Clare Rewcastle-Brown, editor Sarawak Report kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Britain, yang sepanjang tahun lalu telah membuat dakwaan menakjubkan tentang penyelewengan berbilion ringgit di firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana lembaga penasihatnya diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justo mendakwa pembeli juga 'menawarkan membayar saya dengan wang tunai'.

"Jadi saya sepatutnya pergi ke Singapura setiap minggu atau setiap minggu-minggu yang lain untuk menerima sampul surat dengan jumlah wang beberapa ribu atau berpuluh-puluh ribu, dan mengulangi proses ini selama berbulan-bulan sehingga jumlah akhir dibayar. Dan sekali lagi saya menolak," katanya.

Apa yang dikatakan Justo adalah 'senada' dengan kenyataan polis Thai minggu lepas, bahawa pengakuannya itu disokong oleh dokumen-dokumen termasuk rekod perbualan WhatsApp dengan pembeli.

"Semua apa yang ditulis dalam pengakuan saya, sebahagian besarnya dibuktikan dengan perbualan e-mel, mesej WhatsApp antara saya dengan mereka."

Rewcastle-Brown telah bersetuju untuk menerima AS$2 juta daripada pembeli dan menghantar kepadanya AS$250,000 (RM952,000) sebulan untuk khidmat rundingan, dakwanya.

"Saya tidak tahu sama ada dia menerima wang itu atau tidak, (kerana) saya telah ditahan," katanya. "Saya tidak tahu-menahu."

Ketika dihubungi The Straits Times, Rewcastle-Brown menafikan dakwaan tersebut sebagai 'mengarut'.

"Apa yang saya telah dibentangkan mengenai 1MDB dan telah dijelaskan oleh The Edge dan disokong oleh beberapa sumber rasmi yang lain adalah penjelasan koheren peristiwa, berlawanan dengan helah, cerita 1MDB yang ditukar," kata beliau.

The Edge adalah akhbar harian Malaysia yang telah disoal siasat oleh polis Malaysia pada Khamis berkaitan artikel 1MDB yang diterbitkan.

Pada Isnin, dalam nota yang disiarkan di muka depan The Edge, ketua pegawai eksekutif Ho Kay Tat berkata akhbar itu mempunyai 'kewajipan awam untuk mencari dan melaporkan kebenaran'.

"Kami tidak terlibat dalam sebarang kecurian, kami tidak membayar sesiapa, dan kami tidak mengganggu mana-mana e-mel dan dokumen yang diberi kepada kami," katanya.

Beliau juga berkata akhbar itu telah menyerahkan  dokumen yang dicetak dan cakera keras yang mengandungi pemindahan bank dan penyata berkaitan skandal 1MDB kepada penyiasat kerajaan Malaysia.

Justo, yang dibenarkan diwawancara di sebuah meja di pejabat kecil dalam Penjara Reman Bangkok yang luas, juga mendakwa bahawa kumpulan yang ditemuinya di Singapura - termasuk Rewcastle-Brown telah mengganggu data yang telah diberikan kepada mereka.

"Saya telah memberikan dokumen-dokumen asal tanpa sebarang perubahan," dakwanya.

"Saya boleh menyatakan bahawa saya telah memberikan dokumen-dokumen itu kepada dua kumpulan," katanya.

Satu adalah Rewcastle-Brown dan 'lelaki IT yang bersamanya' dan satu lagi ialah ahli perniagaan Malaysia dan rakannya.

The Straits Times tidak menamakan ahli perniagaan dan juga rakan sekerjanya itu sementara menunggu jawapan mereka kepada dakwaan terbaharu.

Dia mendakwa bahawa orang-orang ditemuinya telah bercakap mengenai dokumen itu yang akan digunakan 'untuk cuba menjatuhkan kerajaan Malaysia', sambil menambah mereka juga merujuk kepada rancangan untuk 'mengubah suai dokumen'.

Menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan ini, Rewcastle-Brown berkata Justo adalah 'dipenuhi perkara tidak benar."

Beliau berkata: "Mengapa saya ingin mengubahnya? Jika saya mengubahnya, mengapa tidak 1MDB dan PetroSaudi mengeluarkan bukti bahawa berlakunya pengubahsuaian itu sepanjang lima bulan lepas atau lebih?"

Polis Thailand menahan Justo yang bertatu, mempunyai seorang isteri dan seorang anak berusia sembilan bulan, yang kini di berada Switzerland pada 22 Jun di kediamannya yang luas di pulau peranginan Koh Samui.

Justo, bekas ketua IT di pejabat PetroSaudi di London mengakui bahawa dia telah mencuri data syarikat sebesar 90 gigabait apabila dia meninggalkan syarikat itu pada tahun 2011.

Tambahnya, dia meminta kepada PetroSaudi lebih banyak wang pada tahun 2013 tetapi tidak berjaya.

Selepas itu, melalui kenalan di Geneva yang mempunyai kenalan di Malaysia, dia telah diperkenalkan kepada Rewcastle-Brown, yang kemudiannya ditemui di  di hotel Plaza Athenee, Bangkok  dan di Fullerton Hotel, Singapura.

Di Singapura, Rewcastle-Brown  telah disertai oleh mereka yang lain yang telah dinamakan dalam pengakuannya.

Justo, 48, dilihat sebagai lelaki yang bersih, baik dan tenang. Dia memakai baju t biru muda penjara dan seluar pendek biru gelap.

Dia telah menunjukkan kepada The Straits Times pengakuannya, yang ditulis padat dalam huruf besar lebih dari 22 muka surat.

Katanya, ia tidak dibuat dengan paksaan dan dia terkejut bagaimana dia telah dilayan dengan begitu baik di penjara Bangkok.

Justo berdepan sehingga tujuh tahun penjara dan denda jika didapati bersalah memeras ugut.

Dia mengharapkan hukuman penjara yang lebih ringan dengan pengakuannya, kata peguamnya Pranot Kalanuson kepada The Straits Times.

Jurucakap polis Thai, Leftenan Jeneral Prawut Thavornsiri, berkata pada Rabu bahawa Justo terlebih dahulu mesti dibicarakan di mahkamah Thailand atas tuduhan memeras ugut dan menjalani hukuman penjara jika ada sebelum dia boleh diekstradisikan.

Polis sedang mencari bukti terhadap warganegara Switzerland ini yang akan dikemukakan kepada pendakwa raya, mungkin dalam tempoh sebulan ini.

1MDB, Xavier Andre Justo, PetroSaudi

Artikel Lain