suria

Tony Pua Pertimbang Saman Kerajaan Berhubung Sekatan Ke Luar Negara

Tony Pua,

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap kerajaan selepas beliau dilarang meninggalkan negara ini pada Rabu.

Ketua Publisiti DAP itu berkata, beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu bahawa beliau dalam senarai 'tidak boleh terbang' atau dipanggil untuk disoal siasat bagi sebarang penyiasatan.

Beliau berkata, tiada sebab untuk menghalangnya daripada meninggalkan negara ini, dan hanya boleh membuat spekulasi bahawa sekatan itu mempunyai kaitan dengan kritikannya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dakwaan konspirasi pihak pembangkang untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pegawai Imigresen berkata mereka tidak tahu kenapa saya dilarang keluar, kecuali mengatakan ia adalah arahan 'pegawai peringkat tertinggi'.

"Setahu saya, saya tidak melakukan jenayah dan tidak terlibat mana-mana aktiviti haram dalam sebarang isu berkaitan dengan 1MDB.

"Saya akan berbincang dengan peguam saya untuk membincangkan mengenai tindakan memfailkan saman terhadap kerajaan kerana menghalang saya daripada meninggalkan negara ini tanpa proses yang sewajarnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, Rabu.

Pada Rabu, menurut lidah rasmi DAP, Roketkini, Pua dilarang meninggalkan negara ini semasa mahu berkunjung ke Yogyakarta, Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada tengah hari Rabu.

Tony Pua

Artikel Lain