suria

Bai'ah Bukan Masalah - Khalid Samad

Khalid Samad

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berpendirian bahawa bai'ah atau sumpah taat setia yang dibuat wakil rakyat parti itu bukan penghalang untuk menyertai atau menubuhkan parti baharu.

Sebaliknya bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mencabar partinya supaya menyatakan pendirian rasmi berhubung rancangan menubuhkan parti baharu selepas disingkirkan pada pemilihan Jun lalu.

"Bai'ah bukan satu masalah. Tapi saya harapkan PAS Pusat adakan mesyuarat dan keluarkan pendirian rasmi. Sekarang ini banyak sangat pendirian, kita pun malas nak respon.

"Biar ada satu pandangan yang rasmi, dan kemudian hantar surat dan kami akan respon bila terima," katanya pada Rabu.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Parlimen di sini.

Sebelum ini Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengingatkan wakil rakyat partinya bahawa mereka tidak boleh melanggar bai'ah jika berhasrat mahu meninggalkan atau keluar parti.

Katanya, calon atau wakil rakyat tersebut 'menerima amanah' daripada parti sebagai wakil rakyat dengan janji setia memegang amanah bersama PAS.

"Bai'ah ini tidak boleh dilanggar. Mereka ambil daripada PAS, bukan beri kepada PAS.

"Jika mahu langgar, hantar balik apa yang mereka ambil daripada PAS. Selepas itu, urusan mereka adalah dengan Allah," tulis Nik Abduh dalam Facebooknya pada Selasa.

Kenyataan Nik Abduh itu dibuat susulan rancangan kumpulan progresif dalam PAS yang tekad menubuhkan parti baharu yang diketuai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.



baiah, PAS, Khalid Samad

Artikel Lain