suria

"Mama, Bangunlah..." - Anak Kejutkan Jenazah Ibu

Sharul Raziman Osman menatap buat kali terakhir wajah jenazah isteri Mahfuzah Ishak,28, dan anak Mohamad Harraz Zafran,1, setibanya di Felda Lepar Hilir Satu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk, Pekan malam Isnin. Shahrul Raziman dan seorang lagi anaknya, Nur Adni Afeefa,3, (kanan) terselamat dalam kemalangan di Kilometer 403.9, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Lembah Beringin, Hulu Selangor awal pagi Isnin.

KUANTAN: "Mama, bangunlah...ramai orang datang rumah kita," kata Nur Adni Afeera Shahrul Raziman, 3, cuba mengejutkan jenazah ibunya Mahfuzah Ishak yang disangka sedang tidur.

Melihat ibunya tidak memberi sebarang reaksi, Nur Adni Afeera beralih melihat jenazah adiknya Muhammad Harraby Zafran, setahun, sebelum berpaling ke arah orang ramai dan menyatakan adiknya 'sakit'.

Keletah Nur Adni Afeera menyebabkan orang ramai mengalirkan air mata, manakala ayahnya Shahrul Raziman Osman, 33, tergamam melihat jenazah dua beranak itu di ruang tamu rumah keluarga Mahfuzah di Kampung Lepar Hilir 1, dekat sini, malam ini.

Mahfuzah, 28, seorang kerani di kilang automotif di Pekan dan Muhammad Harraby Zafran meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan dada selepas kenderaan yang mereka naiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan awal pagi Isnin.

Kemalangan berlaku di KM403.9 Lebuhraya Utara Selatan dekat Lembah Beringin, berhampiran pekan Hulu Selangor, pukul 6 pagi ini. Kereta dipandu Shahrul Raziman. 

Turut berada dalam kenderaan itu ibu Shahrul Raziman, Razimah Chik, 63.

 


Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke sini bagi menunaikan permintaan ibu arwah, Norhikmah Abdullah Sani, 54, yang lumpuh untuk melihat mereka sebelum dikebumikan di kampung Shahrul Raziman di Kampung Telok, Pekan, lewat malam Isnin.

Shahrul Raziman yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat berkata, mereka dalam perjalanan untuk bercuti dan melawat saudara mara sebelah ayahnya di Jeniang, Kedah semasa kemalangan berlaku.

"Kami bertolak dari Pekan pada pukul 11 malam semalam. Ia tidak dirancang kerana rancangan untuk ke sana hanya difikirkan pada raya ketiga. Tambahan pula ayah saya telah bertolak ke sana (Jeniang) sehari sebelum dengan menaiki bas," katanya.

Beliau menyatakan kesal, semasa kemalangan tiada kenderaan yang berhenti untuk membantu meskipun beliau memberi isyarat meminta bantuan.

Hanya dua penunggang motosikal yang berhenti selepas 10 minit beliau berdiri di tepi jalan.

Sementara itu, ayah mangsa, Ishak Muhammad, 56, berkata kali terakhir beliau bertemu anak ketiga dari lima beradik itu ialah pada pukul 3 petang semalam, sebelum anaknya bergegas pulang ke Pekan.

"Saya pula ditahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (Kuantan) akibat keracunan makanan pukul 4 petang semalam. Saya juga tidak tahu mereka akan pulang ke Kedah.

"Saya diberitahu anak meninggal dunia pada pukul 10 pagi ini. Saya bersyukur dibenarkan pulang ke rumah pada pukul 3 petang. Sekurang-kurangnya saya dapat melihat mereka untuk kali terakhir," katanya. -- Bernama

Artikel Lain