suria

Tiga Sekeluarga Maut Nahas Enam Kenderaan Di KM55.9

JOHOR BARU: Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 55.7, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner  Mohamad Laham berkata, ketiga-tiga mangsa, yang menaiki motorsikal dikenali sebagai Muhammad Saddam Hussin Mohamed, 23, Lina Soleha Mohamed, 20, dan Nur Rabiatul Adawiyah Budi Norhazmi, 6.

Muhammad Saddam dan Lina Soleha merupakan adik-beradik manakala Nur Rabiatul Adawiyah pula anak saudara mereka.

Mohamad berkata, pada kejadian kira-kira 5 pagi itu, motorsikal yang ditunggangi tiga mangsa itu dalam perjalanan balik dari Pasir Gudang ke Batu Pahat.

"Setibanya di tempat kejadian, motorsikal yang dibawa Muhammad Saddam terbabas masuk ke lorong kanan dan dilanggar dua kereta. Kereta ketiga mengelak ke kiri jalan dan melanggar sebuah motorsikal lain.

"Lori kontena yang berada di lorong kiri cuba mengelak tetapi hilang kawalan dan terbalik di bahu jalan sebelah kiri. Kemalangan terbabit mengakibatkan ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohamad berkata ketika kejadian cuaca baik tetapi tempat kejadian gelap kerana ketiadaan lampu jalan.

Terdahulu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Negeri berkata pihaknya yang mendapat panggilan pada pukul 5.29 pagi, menamatkan operasi menyelamat sejam selepas itu dengan enam anggota bomba dan satu jentera yang dikejarkan dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam. -- Bernama

maut, kontena, Renggam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain