suria

Bekas Pengerusi MCA Perlis Meninggal Dunia

Loh Yoon Foo.

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi MCA Perlis, Datuk Loh Yoon Foo meninggal dunia kira-kira pukul 5.50 petang Khamis di Hospital Ampang.

Beliau berusia 70 tahun.

Mayat mendiang dibawa ke rumahnya di Kaki Bukit untuk upacara penghormatan terakhir.

Isterinya, Datin Ong Kim Leng, 67, berkata Loh mengalami Sindrom Myelodysplastic (MDS) sejak 2013.

MDS merupakan kumpulan penyakit yang mempengaruhi sum-sum tulang belakang dan darah.

Ong berkata suaminya sentiasa mengamalkan cara hidup sihat tetapi susulan menghidap MDS, beliau terpaksa menjalani transfusi darah dengan tetap.

"Dia meninggal dunia akibat jangkitan disebabkan sistem imun yang lemah," katanya ketika dihubungi.

Loh meninggalkan seorang isteri dan tiga anak perempuan berusia antara 30 dan 40 tahun.

Beliau turut mempunyai seorang anak perempuan yang meninggal dunia pada 1997.

Loh merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi selama empat penggal dari 1990 hingga 2008 dan pernah berkhidmat sebagai exco kerajaan negeri pada 1990 hingga 2004.

Beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Loh kekal menyandang jawatan pengerusi MCA bahagian Padang Besar sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Beliau turut terlibat secara aktif dalam kerja amal bersesuaian dengan jawatannya sebagai Pengerusi Rumah Orang Tua Kaki Bukit selama hampir 20 tahun.


MCA, Loh Yoon Foo, meninggal dunia

Artikel Berikut

Artikel Lain