suria

Saya Terpaksa Kosongkan Sementara Jawatan Untuk Disiasat - Bekas Ketua Menteri Melaka

Abdul Rahim Thamby Chik.

PETALING JAYA: “Saya terpaksa mengosongkan sementara jawatan saya," kata bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik apabila beliau dihimpit skandal dan tuduhan rasuah.

Kenyataan tersebut dikeluarkan di saat parti pembangkang menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pergi bercuti sementara pihak berkuasa menyiasat dakwaan penyelewengan terhadap beliau.

"Semasa saya menjadi Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda Umno, saya terpaksa melepaskan jawatan saya buat sementara waktu untuk membolehkan siasatan dilakukan," katanya menerusi Facebook, malam Sabtu.

Abdul Rahim berkata selepas dibersihkan daripada tuduhan tersebut oleh pihak berkuasa, beliau meneruskan semula tugasnya sebagai Ketua Pemuda Umno tetapi 'ditipu' oleh bekas Ketua Pembangkang dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu peletakan jawatan sebagai ketua menteri.

"Anwar memanggil saya ke pejabatnya dan beritahu saya bahawa perdana menteri pada waktu itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengarahkan saya untuk meletak jawatan sebagai ketua menteri kerana saya menjadi liabiliti kepada parti," katanya.

Abdul Rahim mendakwa beliau perlu memenuhi permintaan apabila Anwar memaksanya untuk menandatangani surat peletakan jawatan dihadapan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

"Malangnya selepas itu, Tun Mahathir berkata beliau tidak pernah mengeluarkan arahan tersebut," katanya Abdul Rahim.

Abdul Rahim merupakan ketua menteri Melaka sejak 1982 hingga 1994.

Pada 1994, beliau didakwa memperkosa seorang remaja tetapi pendakwa menarik balik pertuduhan tersebut kerana kekurangan bukti.

Pada Jumaat, Wall Street Journal dan Sarawak Report menyiarkan satu artikel yang memetik 'penyiasat yang tidak dinamakan' mendakwa bahawa hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1Development Malaysia Berhad (1MDB) disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Najib bagaimanapun telah menafikan penemuan WSJ pada Jumaat, dengan menyatakan bahawa ia adalah satu muslihat politik oleh lawannya untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.

Artikel Lain