suria

Esscom Jamin Keselamatan Pelayar Asing Diutamakan

- Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memberi jaminan kepada semua pelayar bahawa keselamatan mereka diutamakan ketika acara pelayaran 'Sail Malaysia Passage to the East' dijadualkan berlangsung dari 7 ke 9 Julai di pantai timur Sabah.

Pegawai Kanan Komponen Darat Esscom Lt Kol Hishamuddin Zahrullayali berkata Esscom melakukan apa sahaja untuk memberikan 'perlindungan terbaik' semasa pelayaran mereka di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dari Kudat ke Tawau.

"Yakinlah, dengan gabungan aset udara, laut dan darat yang kami ada, kami akan pastikan keselamatan semua pelayar ketika pelayaran.

"Selamat datang ke Sabah, negeri di bawah bayu dan nikmatilah pelayaran anda di Esszone ... malah, kehadiran anda merupakan testimoni bahawa Sabah, khususnya di Esszone, adalah selamat," katanya kepada peserta acara itu dalam taklimat khas keselamatan di sini malam Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Taman-Taman Sabah Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood dan pegawai kanan Komponen Maritim Esscom, Kapten (M) Wan Mat Wan Abdullah.

Kira-kira 37 kapal layar dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Perancis, New Zealand, Austria dan Belanda dijadualkan mengambil bahagian dalam acara itu.

Jaminan Esscom terhadap keselamatan pelayar itu diutamakan berikutan kejadian penculikan yang berlaku di restoran makanan laut di Sandakan, baru-baru ini.

Hishamuddin, menjawab satu soalan dalam sesi taklimat itu berkata penculikan itu merupakan kes terpencil yang berlaku pada waktu malam.

"Dipercayai penculik mempunyai perancangan teliti sebelum melakukan penculikan. Penculikan secara rawak tidak mungkin berlaku," katanya dan menambah pasukan keselamatan Esscom akan meningkatkan pengawasan di perairan Esszone.

Beliau berkata walaupun situasi keselamatan secara amnya terkawal di Esszone, Esscom sentiasa peka terhadap sebarang kemungkinan.

Dalam hal ini, Hishamuddin menyeru masyarakat supaya memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Esscom dalam merealisasikan hasrat murni kerajaan menjadikan Esszone sebuah kawasan yang selamat untuk semua termasuk pelancong asing.

Esszone berkeluasan 1,733.7km dari Kudat ke daerah Tawau juga merangkumi daerah-daerah Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Artikel Lain