suria

Tiada Kenaikan Tol Buat Masa Ini

GERIK: Kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai kadar tol walaupun syarikat konsesi lebuh raya meminta kenaikan dilakukan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, syarikat konsesi menyatakan kos operasi yang tinggi tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kabinet sedang meneliti permintaan itu dari semua sudut.

"Jika kita tidak menaikkan kadar berdasarkan perjanjian konsesi pada tahun ini, kerajaan akan membayar pampasan RM580 juta kepada mereka.

"Dan pada tahun depan, jumlah tersebut boleh mencecah RM1.6 bilion," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Fadillah berkata jumlah tersebut sebaliknya boleh digunakan untuk membina jalan raya, sekolah dan hospital.

"Kami perlu keseimbangan. Mampukah kerajaan untuk terus membayar pampasan tersebut?

"Jika kita memutuskan untuk menaikkan tol, kita perlu melihat kepada kepentingan rakyat dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat," katanya.

Tambah Fadillah lagi, rundingan masih diadakan antara kerajaan dan 30 syarikat konsesi lebuh raya.

Sambil menyatakan bahawa syarikat konsesi berhak untuk menaikkan tol seperti yang ditetapkan dalam kontrak mereka, Fadillah berkata, kerajaan tidak pernah menaikkan kadar tol sejak 2008.

"Orang ramai juga perlu ingat bahawa pembinaan lebuh raya bergantung kepada pihak berkepentingan, termasuk pelabur asing dan pihak bank.

"Jika tidak ada keputusan mengenai kenaikan tol, ia akan menjejaskan keyakinan pihak berkepentingan," kata Fadillah.

kenaikan tol, Fadillah Yusof

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain