suria

Mara Lantik PwC Audit Pembelian Hartanah Luar Negara Mara Inc

Tan Sri Annuar Musa pada sidang media, Khamis. -foto THE STAR
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) melantik sebuah badan juruaudit bertauliah, Pricewaterhouse Coopers (PwC) untuk mengendalikan urusan pengauditan lebih mendalam terhadap isu pembelian hartanah oleh anak syarikatnya, Mara Inc di luar negara.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat Majlis Mara pada Khamis telah membincangkan secara terperinci mengenai isu tatacara perolehan aset dan perundingan sebelum aset tersebut dimiliki.

Menurutnya, semua pegawai tertinggi Mara Inc termasuk pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya telah dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan.

"Majlis Mara mendapati ada keraguan yang munasabah mengenai banyak perkara dalam urusan pembelian ini.

"Selaras dengan komitmen Mara untuk mengekalkan budaya integriti yang tinggi, mesyuarat Majlis Mara telah memutuskan untuk melantik satu badan juruaudit bertauliah, Pricewaterhouse Coopers bagi mengendalikan urusan pengauditan lebih mendalam terutama isu-isu yang berkaitan dengan semua perolehan aset Mara Inc yang dibeli di luar negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Mara di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian berhubung susulan isu kontroversi pembelian Dudley International House dan beberapa lagi hartanah di Australia dan United Kingdom oleh Mara Inc.

Mengulas mengenai keraguan munasabah, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, ia berdasarkan laporan audit interim dalaman termasuk penjelasan yang dikemukakan Mara Inc yang didapati terdapat beberapa perkara berkaitan dengan urus tadbir yang perlu dijalankan siasatan lanjut.

"Selagi kita tidak selesai semua sekali, selagi itu siasatan akan diteruskan. Susah bagi kita untuk menentukan berapa lama tempoh namun yang pasti ialah kita hendak menyiasat secara terperinci dan menyeluruh," katanya.

Mara sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan ke atas semua aset pelaburan milik Mara Inc di luar negara.

Beliau menambah, Majlis Mara mengambil maklum kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini bahawa tiada unsur pecah amanah (CBT) di dalam kes tersebut.

"Namun Majlis Mara merasakan adalah perlu bagi saya bertemu dengan pihak PDRM untuk memberikan maklum balas daripada kita supaya PDRM mendapat gambaran lebih jelas.

"Jika perlu, kita mahu perkara itu diteliti sekali lagi dengan lebih mendalam oleh pihak PDRM," katanya.

Pada Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan sebagai berkata, pihak polis menolak adanya unsur CBT dalam kes pembelian hartanah oleh Mara Inc di Australia.

Dalam pada itu, Annuar turut mengalu-alukan keprihatinan yang ditunjukkan oleh semua pihak termasuk mereka yang mempunyai fakta bagi membantu siasatan.

"Apa juga yang kita dapati kekeliruan yang timbul akibat tuduhan pihak tertentu selagi mana ia tidak menganggu penyiasatan dan tidak melanggar peraturan. Mara tidak ada masalah untuk memberikan maklumat itu kepada orang awam," katanya.

Artikel Lain