suria

Hudud: MCA Desak DAP Putus Hubungan Dengan PKR

PETALING JAYA: DAP didesak untuk memutuskan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail didakwa menyokong peruntukan tertentu dalam hukum hudud.

Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ng Chok Sin berkata, aduan qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang difailkan Dr Wan Azizah mewakili suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan beliau menyokong undang-undang Islam itu.

"Kami berminat untuk tahu, selepas memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adakah DAP juga akan memutuskan hubungan mereka dengan PKR dan Wan Azizah, kini Presiden PKR menyata secara terbuka beliau menyokong undang-undang hudud," kata Ng dalam satu kenyataan.

Beliau berkata DAP tidak harus bersikap 'double standard' dan mengisytiharkan dengan segera bahawa mereka tidak akan bekerjasama lagi dengan PKR.

"Untuk pertimbangan manfaat politik, DAP mungkin masih mahu bekerjasama pada PKR tanpa Wan Azizah, sama seperti yang dilakukan terhadap Hadi tetapi tidak partinya kerana kita boleh mengharapkan yang lebih daripada DAP," kata Ng.

Terdahulu, Dr Wan Azizah memfailkan aduan itu bagi Anwar di bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Shah Alam pada Jumaat selepas Muhammad Shafee didakwa memfitnah suaminya berhubung kes liwat.

Katanya, aduan qazaf itu dibuat berikutan tindakan Muhammad Shafee yang menuduh Anwar melakukan liwat dengan bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Anwar) sepertimana diwajibkan oleh undang-undang.

Dr Wan Azizah Wan Ismail, PKR, DAP, hudud

Artikel Berikut

Artikel Lain