suria

Bekas Konstabel Polis Dihukum Penjara Kerana Cederakan Tahanan

PUTRAJAYA: Seorang bekas konstabel polis akan menjalani hukuman penjara tiga tahun apabila Mahkamah Rayuan pada Jumaat menolak rayuan terakhirnya terhadap sabitan mencederakan seorang tahanan polis.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, yang bersidang bersama Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dan Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, sebulat suara menolak rayuan V.Navindran terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya kerana mencederakan A. Kugan, enam tahun lepas.

Raus berkata, mahkamah itu mendapati Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan yang mewajarkan dibuat rayuan apabila ia mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan kesalahan Navindran terhadap dua tuduhan pilihan iaitu menyebabkan kecederaan terhadap Kugan, seorang suspek dalam kes curi kereta mewah.

"Kami juga mendapati tiada sebab untuk mengubah hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya. Kami berpendapat, berdasarkan keadaan kes, hukuman yang dikenakan Mahkamah Sesyen adalah tidak berlebihan," kata hakim itu.

Navindran, 35, kelihatan tenang apabila polis membawanya ke lokap mahkamah setelah keputusan itu diumumkan.

Kemudian, melalui peguam belanya, S. Ramesh, Navindran menyuarakan kekesalan atas kematian Kugan dan berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan dia berharap kejadian serupa tidak akan berulang.

Pada 11 Jun 2012, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati Navindran bersalah terhadap dua tuduhan pilihan dan menjatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap kesalahannya. Hukuman itu bagaimanapun diperintah berjalan serentak.

Navindran melakukan kesalahan itu dalam bilik soal siasat di balai polis Taipan USJ, Subang Jaya, antara pukul 7 pagi dan 4 petang 16 Januari 2009.

Kugan, 23, dari Puchong, ditangkap pada 14 Jan 2009 bagi membantu siasatan berhubung satu sindiket mencuri kereta mewah. Dia meninggal dunia enam hari kemudian ketika berada dalam tahanan polis.

Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali dan Azlina Rasdi mewakili pihak pendakwaan.-- Bernama

A Kugan, Mahkamah Rayuan, Navindran

Artikel Lain