suria

"Yang Tak Selamatnya PAS"

Isa Samad anggap slogan kempen PAS lebih sesuai ditujukan untuk parti itu sendiri.

MUADZAM SHAH: Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menegaskan slogan kempen PAS, 'Selamatkan Felda' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin sepatutnya ditujukan kepada parti itu yang kini bergelut dalam kemelut kepimpinan pakatan pembangkang.

"Dia (PAS) kata Felda tak selamat, apa yang tak selamatnya, yang tak selamatnya PAS. DAP dengan PAS bergaduh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 peneroka Felda yang hadir dalam Majlis Pecah Tanah Dewan Semai Bakti di Felda Keratong 4 di sini, Isnin.

Katanya, PAS terdesak menggunakan slogan tersebut bagi mendapatkan sokongan pengundi khususnya di Rompin yang mempunyai 14 tanah rancangan Felda.

"Dia (PAS) janji macam-macam seperti Ladang Rakyat di Kelantan, kononnya nak bela nasib rakyat tapi tak berjaya," katanya.

Justeru beliau yakin BN akan mengulangi kejayaan seperti yang dikecapi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan pengumuman penurunan harga rumah untuk generasi kedua dan ketiga Felda daripada RM125,000 kepada RM90,000.

"Keputusan Perdana Menteri untuk menurunkan harga rumah tersebut sebenarnya sudah dicadangkan sejak tahun lalu. Ia bukan semata-mata untuk kempen PRK Rompin," katanya.

Beliau berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat untuk mengumumkan berita baik itu di Felda Chini, kawasan Parlimennya tetapi ia diumumkan lebih awal kerana kebetulan PRK Rompin diadakan pada waktu ini.

"Perdana menteri mahu anak generasi baharu yang berhasrat tinggalkan kampung menetap di Felda. Hasrat PM itu kita makbulkan dan kita laksanakan," katanya.

PAS dalam kempen ceramahnya menggunakan slogan 'Selamatkan Felda' untuk menyerang BN dengan mendakwa agensi kerajaan itu gagal menangani isu perumahan generasi kedua dan ketiga di tanah rancangan tersebut.

Selamatkan Felda, PRK Rompin, PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain