suria

Bantah GST: Mat Sabu Dibebas Dengan Jaminan Polis

Mat Sabu menjadi pemimpin pembangkang seterusnya yang ditahan susulan perhimpunan bantah GST.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataannya berhubung perhimpunan Bantah GST 1 Mei lalu direkodkan di Balai Polis Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samad mengesahkan bahawa timbalan presiden PAS itu dibebaskan kira-kira pukul 5.30 petang Isnin.

Terdahulu, pemimpin PAS yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu ditahan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan pada Isnin kerana menghadiri perhimpunan haram itu.

Beliau ditahan sebaik dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah berkenaan pada tengah hari Isnin.

"Mat Sabu disoal siasat sekiranya beliau terlibat dalam perhimpunan itu... jika dia berkata ini... dan jika dia berkata begitu," kata peguamnya, Nasar Khan.

"Beliau memilih untuk tidak menjawabnya."

Ketika berita ini ditulis, Mat Sabu tidak dapat dihubungi kerana beliau dalam penerbangan ke Pulau Pinang bagi menghadiri majlis sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Seramai 29 orang ditahan pada Jumaat sepanjang perhimpunan bantah GST yang diadakan di Kuala Lumpur itu.

Antara yang ditahan termasuk bekas Presiden Majlis Peguam dan Penaung Negara-ku Datuk Ambiga Sreenevasan; Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke; Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan; Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dan aktivis sosial, Hishammuddin Rais.

Permohonan polis untuk menahan reman Ambiga, Loke, Arutchelvan, Hatta pada Sabtu pagi bagaimanapun ditolak Mahkamah Majistret.

Kedua-dua Rafizi dan Hishammuddin dibebaskan dengan ikat jamin pada pagi Ahad.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Koordinator Jingga 13, Fariz Musa juga ditahan, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad selepas keterangan mereka dirakamkan.

Mat Sabu, #BantahGST, PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain