suria

Kesan Lebam, Patah Dan Jangkitan Kuman Pada Otak Mayat Bayi

ALOR SETAR: Hasil bedah siasat mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan patah pada badan bayi lelaki berusia lapan bulan yang meninggal dunia petang pada Sabtu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata pakar forensik mendapati kesan lebam pada bahagian kepala, muka, lengan, kaki dan belakang badan. 

Terdapat juga kesan patah pada tulang selangka kiri dan tulang lengan selain jangkitan kuman pada selaput otak dan otak bengkak, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad. 

Beliau berkata kecederaan yang dialami bayi itu dipercayai akibat kontek dengan benda tumpul sama ada disebabkan hentakan kecil atau terjatuh dan punca kematian masih disiasat. 

Mohd Nashir berkata kedua-dua suspek, wanita berumur 30 tahun, dan lelaki,40, yang juga ibu bapa angkat kepada bayi tersebut, direman bermula Ahad hingga 9 Mei bagi membantu siasatan. 

Mereka tinggal di Taman Rasa Sayang, Jitra.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam pada Jumaat (1 Mei) Jabatan Kecemasan Hospital Jitra menerima masuk seorang bayi berusia lapan bulan yang tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke HSB pada 11.55 pagi Sabtu.

Bayi tersebut kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 4.04 petang hari yang sama.

kesan lebam, mayat bayi

Artikel Lain