suria

Agensi Nuklear Bantu Lebih 2,000 Pengusaha

KOTA BAHARU: Agensi Nuklear Malaysia telah membantu lebih 2,000 pengusaha dalam pelbagai industri di bawah program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) terutama melibatkan produk makanan.

Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia Mohd Sidek Othman berkata agensi berkenaan memberikan perkhidmatan secara percuma kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha meningkatkan pendapatan pengusaha terbabit.

"Ada satu bahagian dalam proses pengeluaran di mana mikroorganisme di dalam produk yang dihasilkan perlu dibunuh menggunakan sinaran gamma dan kita beri perkhidmatan tersebut secara percuma kepada mereka.

"Selain itu kita juga melaksanakan pelbagai kempen kesedaran kepada orang awam mengenai keselamatan teknologi nuklear kepada kesihatan manusia dan alam persekitaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik Pengimejan Perubatan ke-40 di sini, Jumaat.

Hadir sama Penolong Pengarah Kanan Cawangan Keselamatan Radiasi dan Kesihatan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Kementerian Kesihatan Dr Bidi Abdul Hamid dan Pakar Radiologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Dr Che Mazura Hussain.

Sebanyak enam kertas kerja akan dibentangkan dalam persidangan satu hari itu.

Sementara itu, Bidi berkata menurut laporan yang dikeluarkan Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), penggunaan sinar X (X-Ray) di negara ini masih lagi terkawal dan hampir setaraf dengan negara maju.

"Kita buat pemeriksaan terhadap mesin sinar X sekurang-kurang sekali dalam tempoh satu atau dua tahun bagi kawalan mutu dan agar ia mencapai tahap yang telah ditetapkan," katanya.

Agensi Nuklear

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain