Pemasangan Pagar Keselamatan Di Sempadan Dikaji - Semasa | mStar

Pemasangan Pagar Keselamatan Di Sempadan Dikaji

Pandangan umum pagar sempadan yang memisahkan Malaysia dan Thailand tidak jauh dari ladang buah-buahan yang dimiliki oleh Kedah Agro Integrated Plantations Sdn Bhd berhampiran Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah. Foto G.C.TAN / The Star

PETALING JAYA: Rancangan untuk memasang pagar keselamatan sejauh 2,666 kilometer di sepanjang sempadan negara sedang dipertimbangkan sebagai langkah untuk menghentikan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan orang.

Kementerian Dalam Negeri sedang menjalankan kajian mengenai kemungkinan pagar itu akan dipasang yang turut berfungsi sebagai pengganti kepada pagar sedia ada yang di dalam keadaan tidak memuaskan.

Kerajaan kerugian lebih RM7 bilion setiap tahun berikutan aktiviti penyeludupan barangan seperti beras, petrol, diesel, minuman beralkohol, rokok, baja dan racun rumpai.

Selain itu, terdapat juga barangan lain yang diseludup ke dalam negara iaitu senjata api dan kereta curi yang diseludup keluar ke negara jiran.

Barangan tiruan berjenama turut diseludup masuk.

Bagaimanapun, pemerdagangan orang merupakan sebab utama pemasangan pagar di sempadan dilakukan.

Pagar itu didirikan di sempadan negara dengan Thailand, Indonesia dan Brunei, dan kini sedang dikaji mengenai jenis pagar, ketinggian, kos pembinaan, dan bagaimana ia dikawal dan adakah terdapat keperluan untuk memasang pagar elektrik.

Satu jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Pasukan Teknikal Pagar Keselamatan sedang menjalankan kajian yang dijangka selesai menjelang awal Oktober.

Kajian itu kemudiannya akan diserahkan ke Kabinet.

Setiausaha Bahagian Kepolisian dan Keselamatan Sempadan, Badrul Hisham Mohd berkata, bahagian itu akan mengetuai jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata, pasukan itu kini sudah pun menjalankan kajian pada fasa kedua dan akan bertemu dengan agensi berkaitan di Sabah dan Sarawak pada 24 dan 25 Mac.

Badrul yang juga Ketua Pengarah Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) berkata, sempadan di utara Semenanjung memerlukan pagar keselamatan sepanjang kira-kira 650 kilometer manakala di Sabah dan Sarawak adalah 2,000 kilometer.

"Pada awalnya, kita diminta untuk menjalankan kajian mengenai pagar keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

"Tetapi selepas beberapa kejadian jenayah rentas sempadan, ia dipanjangkan ke (sempadan antarabangsa) Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pagar keselamatan itu adalah berbeza dengan pagar sempadan kerana ia memerlukan kelulusan daripada negara jiran.

"Pagar keselamatan boleh dipasang di mana-mana oleh kerajaan dan tidak memerlukan kelulusan negara jiran. Ini akan menjimatkan masa kita," kata Badrul.

UPP , Unit Pencegahan Penyeludupan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain