suria

Kumpulan Bersenjata Bebaskan Zakia Areip Pada Sabtu

SANDAKAN: Anggota pasukan Polis Marin Lans Koperal Zakia Aleip, yang diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika melakukan rondaan di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lepas, dibebaskan pada Sabtu, demikian diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. 

Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar dan turut dihadiri Zakia, yang baru tiba di Sandakan Sabtu dari Selatan Filipina, dengan menaiki bot.

"Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan usaha berterusan kerajaan melalui perundingan, berkat doa semua pihak dan kesabaran serta ketabahana hli-ahli keluarga, maka usaha membebaskan beliau telah berhasil.

"Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan keselamatan kita yang telah berusaha sedaya upaya sehingga memastikan pembebasan Zakiah,"katanya. 

Musa berkata beliau telah pun menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri NajibTun Razak untuk memaklumkan perkembangan itu.

Musa berkata Najib merakamkan rasa gembira dengan berita pembebasan ini dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Zakia. 

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan negeri dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), beliau menyeru anggota keselamatan agar sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan.

Tegasnya ini bagi memastikan agar keselamatan dan keamanan Sabah dan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman keselamatan khususnya di kawasan perairan negara.

Dalam kejadian pukul 11.10 malam itu, Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, mati ditembak manakala Zakia diculik oleh kumpulan berkenaan ketika mereka sedang menjalankan tugas rondaan di resort itu. -BERNAMA

Artikel Lain