suria

Semakin Ramai Nelayan Terlibat Dengan Penyalahgunaan Dadah

KUANTAN: Masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan nelayan di negeri ini khususnya nelayan kecil dilihat semakin serius dan dikhuatiri boleh menular kepada anggota keluarga mereka.

Difahamkan, kebanyakan golongan nelayan mengambil dadah untuk memberi ketahanan fizikal semasa berada di laut selain dapat merangsang diri supaya bekerja lebih kuat untuk mendapat pendapatan yang lebih tinggi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Mohd Zaki Masroh berkata, sepanjang tahun lepas sahaja seramai 171 orang nelayan di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin telah ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Daripada jumlah itu seramai 12 orang turut disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati," katanya ketika berucap di program mesra PDRM bersama komuniti nelayan Kuantan di sini, Jumaat.

Hadir sama, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Azmi @ Azami Ibrahim, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmood dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kuantan Talib Husin.

Beliau melahirkan kekhuatiran jika kegiatan itu tidak dibendung, ia akan menular kepada anggota keluarga nelayan yang lain terutama anak-anak mereka selain komuniti setempat itu sendiri.

"Sehubungan itu, saya meminta nelayan dapat tampil dan memberi kerjasama untuk sama-sama membantu polis memerangi gejala dadah demi masa depan anak bangsa," katanya.

Beliau berharap dengan program seperti itu akan dapat membuka minda golongan nelayan agar tidak melibatkan diri dalam sebarang bentuk penyalahgunaan najis dadah.

Selain itu katanya, program ini juga dapat menjadi medium untuk merapatkan hubungan baik di antara polis dengan komuniti nelayan di samping dapat menggalakkan penyaluran maklumat berkaitan jenayah, dadah, penyeludupan dan barangan terlarang.

nelayan, dadah, Mohd Zaki Masroh

Artikel Lain