suria

MIC Fokus Selesai Kemelut, Yakin Parti Tetap Bersatu - Subra

Dr S.Subramaniam.
KUALA LUMPUR: MIC kini memberi perhatian kepada proses penyelesaian kemelut parti itu dan tidak mahu isu-isu lain yang berbangkit mengganggu proses berkenaan, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Dr Subramaniam berkata walaupun terdapat isu seperti sedikit perpecahan akibat perbezaan pendapat namun beliau yakin ia dapat diselesaikan dan parti akan bersatu demi penyelesaian kepada masalah parti itu.

"Semangat parti sekarang mencari penyelesaian, dan bukan fokus isu-isu lain (seperti perpecahan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Jaminan Makanan Global 2015 di sini Selasa.

Dr Subramaniam juga berkata proses penyelesaian pemilihan parti itu juga perlu diselesaikan secepat mungkin dan tindakan mengheret isu itu ke mahkamah hanya akan menjejaskan parti, Barisan Nasional (BN) dan kejayaan parti itu di dalam pilihan raya umum ke-14.

Mengulas pemilihan semula yang akan diadakan April ini, Dr Subramaniam berkata proses tersebut kini telah bermula apabila MIC mula menerima nama-nama senarai cawangan untuk pemutihan.

Pada 5 Disember tahun lalu, Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat dalam tempoh 90 hari berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

RoS juga menasihatkan MIC supaya tidak mengadakan perhimpunan agung tahunan sehingga isu itu diselesaikan.
MIC, Subramaniam

Artikel Lain