suria

Bomba Perlu RM190 Juta Tambah Peralatan Hadapi Bencana

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM190 juta bagi membeli peralatan tambahan sebagai persediaan menghadapi bencana alam di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata peruntukan itu adalah bagi membeli peralatan logistik seperti bot penyelamat pelbagai guna dan lori untuk digunakan pada waktu kecemasan seperti kejadian banjir besar bulan lepas yang melanda beberapa negeri.

Katanya setakat ini kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta kepada JBPM bagi membeli peralatan baharu termasuk generator dan peralatan lampu selain membaiki tujuh balai bomba yang rosak akibat banjir.

Wan Mohd Nor berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 peringkat ibu pejabat JBPM kepada 88 pegawai dan anggota di sini Jumaat.

Pada masa ini JBPM mempunyai 500 buah bot dan sejumlah 50 bot sudah diterima penghujung tahun lepas serta 102 lori pengangkut dan ia akan ditambah 100 lagi pada penghujung bulan ini.

Wan Mohd Nor berkata JBPM mempunyai 13 bot amfibia dan akan ditambah lima kerana ia sangat berguna di kawasan yang terputus jalan perhubungan apabila berlaku bencana banjir kerana ia boleh bergerak dalam banjir dan di jalan raya.

Mengulas persiapan JBPM menghadapi musim kemarau, beliau berkata JBPM kini dilengkapi dengan 240 unit peralatan kebakaran hutan dan 100 lori tangki air dengan kapasiti yang tinggi sebanyak 20,000 liter setiap tangki bagi menghadapi musim kemarau antara Januari dan Mac.

"Kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi yang terburuk akibat kebakaran hutan dan tanah gambut. Saya menggesa masyarakat agar lebih peka terhadap kesan pembakaran terbuka dengan menghentikan serta-merta aktiviti pembakaran," katanya.

Sejumlah 9,000 panggilan pada Februari tahun lalu adalah berkaitan dengan pembakaran terbuka, katanya.

Bomba, Bencana, Banjir

Artikel Lain