suria

Kes Kanak-Kanak Dikurung Akan Disiasat JKM

Mangsa kelihatan lapar ketika ditemui pihak polis.

JOHOR BAHARU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menyiasat kes kanak-kanak perempuan yang dikurung dan didera di Butterworth, Pulau Pinang. 

Timbalan Menterinya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata siasatan dilakukan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).  

"Kanak-kanak itu kini berada di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kita (kementerian) akan mendapatkan laporan dari JKM Pulau Pinang dan sekiranya mahkamah keluarkan perintah, kanak-kanak itu akan ditempatkan di rumah penjagaan JKM," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis Hari Keluarga Pusat Dalam Komuniti (PDK) DUN Johor Jaya pada Sabtu. 

Hadir sama, Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (Juita) Datin Seri Rosni Omar.  Kanak-kanak berkenaan yang merupakan murid Tahun Satu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.  

Susulan itu, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 34  tahun yang dipercayai bapa mangsa bagi membantu siasatan. 

Sementara itu, Chew yang juga Naib Presiden MCA berkata seramai 506,228 Orang Kurang Upaya (OKU) direkodkan berdaftar dengan JKM sehingga tahun lepas. 

Beliau berkata 508 pusat PDK pula beroperasi di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 21,869 orang OKU. 

Di Johor, 69 PDK diwujudkan. 2,760 OKU mendapat perkhidmatan di pusat PDKdan di rumah, katanya. 

Menurutnya, pihaknya menerusi JKM juga sedang mengemaskini katalog produk PDK dan satu laman web akan diwujudkan bagi pemasaran produk PDK seperti barangan kraftangan untuk menjana pendapatan. 

kanak-kanak dikurung

Artikel Lain