Tapak, Reka Bentuk Sekolah Baharu Di Pantai Timur Akan Dikaji - TPM - Semasa | mStar

Tapak, Reka Bentuk Sekolah Baharu Di Pantai Timur Akan Dikaji - TPM

Muhyiddin (kanan) ketika meninjau sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut yang dipenuhi lumpur selepas banjir minggu lalu.

CYBERJAYA: Tapak serta reka bentuk sekolah yang bakal dibangunkan pada masa depan terutama di negeri-negeri Pantai Timur akan diteliti dengan mendalam sebagai persediaan menghadapi banjir, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata ini penting memandangkan sekolah-sekolah di Pantai Timur sering dilanda banjir pada setiap hujung tahun selain dijadikan pusat pemindahan banjir bagi penduduk yang terjejas.

"Ini (banjir tahun ini) pengalaman yang agak pahit bagi kita. Sebab itu kita perlu teliti tapak dan design (reka bentuk) sekolah yang nak dibina kerana selain menjadi pusat pendidikan ia juga tanggung beban ketika musim banjir.

"Memang setiap tahun negeri-negeri di Pantai Timur alami banjir, tapi setiap tahun, darjah kerosakan akibat banjir itu berbeza," katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2015 di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya dan Sekolah Menengah Cyberjaya di sini, Selasa.

Muhyiddin berkata antara reka bentuk yang mungkin dikaji adalah penempatan bilik makmal serta bilik komputer yang kebanyakannya terletak di aras bawah bangunan sekolah.

"Bila berlaku banjir, akan berlaku kesukaran untuk memindahkan peralatan di bilik-bilik ini ke tingkat atas sehingga mengakibatkannya rosak dan menyebabkan kos kerugian yang besar.

"Maka mungkin lebih baik bilik makmal dan bilik komputer ini diletakkan di tingkat satu atau lebih tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan mengkaji kemungkinan menggunakan bahan seperti plastik tahan lasak atau besi bagi peralatan kerusi dan meja di sekolah-sekolah di Pantai Timur untuk mengurangkan jumlah dan kos kerosakan akibat banjir.

Beliau berkata penggunaan bahan seperti plastik dan besi juga lebih murah dari segi kos selain mudah untuk dihasilkan berbanding menggunakan kayu.

"Mungkin negeri-negeri di Pantai Timur tak boleh guna meja dan kerusi daripada kayu kerana kalau banjir ia akan musnah ataupun bila kering selepas banjir ia tidak boleh digunakan lagi," jelas Muhyiddin.

Sementara itu, timbalan perdana menteri berkata pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 tetap akan dibuat pada 3 Mac ini walaupun berlaku kelewatan dalam proses penandaan dan pemeriksaan kertas jawapan disebabkan banjir.

"Tiada sebarang laporan mengenai kertas jawapan SPM musnah akibat banjir baru-baru ini, yang berlaku cuma sedikit kelewatan dalam membuat semakan," katanya.

 


sekolah , Pantai Timur , Muhyiddin Yassin

Artikel Sebelum

Tambang Bas Sekolah: SPAD Enggan Jawab

Artikel Berikut

Mejar Zaidi Tak Akan Merayu - Mahfuz

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain