suria

Tambang Bas Sekolah: SPAD Enggan Jawab

Syed Hamid Albar

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) cuba mengelak apabila ditanya mengenai kemelut tambang bas sekolah yang masih berlarutan sehingga hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara itu walaupun diasak media untuk mengulas mengenainya.

"Jangan tanya saya soalan selain isu berkaitan majlis hari ini. Kalau nak tanya soalan itu (tambang bas sekolah) kita buat sidang media pada lain hari," katanya pada sidang media selepas taklimat Agenda Integrasi Perkhidmatan Rel di sini, Selasa.

Kemelut tambang bas sekolah masih belum bernoktah sehingga hari ini kerana SPAD tetap enggan memperkenalkan semula harga siling sebagai garis panduan kepada pengusaha dalam penetapan tambang bas sekolah.

Sebaliknya, SPAD mahu kadar tambang ditentukan menerusi rundingan antara pengusaha dan ibu bapa.

Tindakan itu terus dikecam pelbagai pihak terutamanya pengusaha bas sekolah yang menyifatkan ia sebagai tidak relevan untuk dilaksanakan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penamatan Skim Penggantian Bas Sekolah, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, tiada skim baharu buat masa ini.

Namun, katanya mereka akan mengkaji sistem baharu untuk menggantikan skim tersebut.

Terdahulu, mStar Online melaporkan SPAD menamatkan skim tersebut yang sepatutnya berakhir pada April ini kerana ia kurang mendapat sambutan di kalangan pengusaha bas sekolah.
SPAD, tambang, bas sekolah

Artikel Lain