suria

Mejar Zaidi Tak Akan Merayu - Mahfuz

Mejar Zaidi Ahmad

KUALA LUMPUR: Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad tidak akan merayu terhadap hukuman dibuang kerja setelah didapati bersalah terhadap dua pertuduhan melibatkan isu dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dua tahun lalu.

Sebaliknya Zaidi yang dibuang daripada perkhidmatan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Tentera itu berhasrat membawa kes berkenaan ke mahkamah sivil.

Perkembangan itu disampaikannya kepada Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menerusi perbualan telefon.

"Beliau maklumkan tidak akan buat rayuan kepada Mahkamah Tentera... itu yang diberitahu kepada saya.

"Mejar Zaidi juga maklumkan beliau akan failan kes ini ke mahkamah sivil," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, Isnin.

Menurut Mahfuz, peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin akan bertindak mewakili Zaidi apabila kes itu dibawa ke mahkamah sivil.

Tambah Mahfuz, pihaknya akan membawa isu pemecatan Zaidi ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat yang antara lain bagi membincangkan sekiranya ada bantuan sesuai boleh dihulurkan kepada pegawai tentera itu.

"Ini termasuk membincangkan sekiranya ada jawatan sesuai dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang boleh diberi kepada beliau," katanya.

Pada Isnin, Zaidi, 45, yang bertugas sebagai pegawai pemerintah dari Pangkalan Udara Butterworth, didakwa membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa mendapat kelulusan daripada Kementerian Pertahanan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1 Mei 2013.

Bagi pertuduhan kedua, Zaidi didakwa menyiarkan maklumat rasmi mengenai pertukaran tempat kerjanya kepada pihak media tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Angkatan Tentera, di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 Mei 2013.

Mejar Zaidi Ahmad, TUDM, Dakwat Kekal

Artikel Lain