JAKARTA: Mayat penumpang dan kru pesawat AirAsia Indonesia yang terhempas di Laut Jawa akan diterbangkan ke Surabaya untuk proses pengecaman pihak berkuasa. Portal berita suara.com memetik ketua agensi mencari dan menyelamat (Basarnas) Indonesia, Bambang Soelistyo sebagai berkata tiga mayat ditemui di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah pada Selasa. "Semasa misi SAR pada malam Selasa hingga pagi Rabu, kami menjumpai tiga mayat - dua lelaki dan seorang wanita yang berpakaian seragam pramugari," katanya. Jumlah itu menjadikan enam mayat berjaya ditemui setakat ini. Mayat tersebut antara 162 penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas semasa dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura, Ahad lalu. Mayat tersebut ditemui terapung di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun.